Buat duit dengan sampah

0
443
MOHD Shahrul Nizam Mustapa memilih bidang perniagaan yang jarang orang minat iaitu mengutip sampah.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

JANGAN sesekali memandang rendah pada pekerja kutip sampah kerana tanpa mereka, kita mungkin akan hidup dalam timbunan sampah.

Pernah tak sehari anda tak buang sampah? Disebabkan kita buang sampah setiap hari, maka pengutip sampah akan bekerja selama 365 hari setahun.

Baru-baru ini penulis berpeluang menemu bual Pengarah Urusan Afbatni Resources Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Shahrul Nizam Mustapa, 45, di Klang, Selangor.

Beliau adalah ‘Abang Long Kawasan’ di Shah Alam, Petaling Jaya, Selayang, Klang, Subang dan Kajang. Mohd. Shahrul Nizam bukan gengster tapi orang yang bertanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan tersebut.

Ingat senang ke nak pastikan ‘kawasan jajahan’ yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Mohd. Shahrul Nizam yang memulakan bisnes mengutip sampah sejak 2008 dengan bangga berkongsi pengalamannya dalam kerjaya yang jarang menjadi pilihan ramai itu.

“Saya mula bisnes sampah pada 2008 tanpa modal. Kini saya ada 200 orang untuk kerja bawahan dan 20 orang untuk bahagian pentadbiran.  Daripada sebuah lori, kini saya ada 30 buah lori sampah.

HUBUNGAN baik dengan kakitangan membolehkan Mohd. Shahrul Nizam membina empayar perniagaan sendiri.

“Saya sewa lori dalam tempoh enam bulan pertama berniaga. Duit sewa lori, saya bayar bila dapat pembayaran. Awalnya saya hanya mampu beli sebuah lori dengan harga kira-kira RM190,000 lebih pada tahun pertama berniaga.

“Alhamdulillah, sekarag ini saya ada 30 buah lori sampah dan setiap lori berharga kira-kira RM500,000. Lori sekarang mahal sebab sistem yang diguna pakai. Kalau dulu lori sampah banyak button, sekarang ini guna monitor dan touch skrin,” ceritanya.

Beliau yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu juga tidak marah jika ada yang menggelarnya sebagai tauke sampah kerana Mohd. Shahrul Nizam bangga dengan pekerjaan yang dilakukannya.

Katanya, kerana sampah kehidupannya berubah, daripada menerima gaji RM900 sebulan, kini beliau yang membayar gaji orang.

“Niat saya bukan nak kaya, saya buat bisnes untuk tolong orang terutamanya, anak bangsa dan agama. Saya bangga, kalau orang tanya, bisnes apa? Saya akan jawab kutip sampah.

“Isteri juga bangga dengan apa yang saya lakukan dan anak-anak pun tak pernah bersungut. Bila lori saya pergi kutip sampah d kawasan sekolah, anak boleh cakap kat kawan-kawan dia, itu lori bapa aku.

“Anak-anak tak pernah jijik dengan pekerjaan saya. Mereka tahu hasil daripada sampah itu, mereka jadi seperti sekarang,” kata suami kepada Datin Hasnah Abdul Samad dan bapa kepada empat orang anak itu.

Berkongsi rutin kerja collecter atau pengutip sampah, Mohd. Shahrul Nizam berkata, setiap lori ada empat pekerja iaitu pemandu dan tiga orang pengutip sampah.

LORI sampah yang diguna sentiasa dipastikan berada dalam keadaan selamat.

“Kru yang kutip sampah kebanyakan orang Bangla, gaji RM1,500 sebulan. Pemandu lori, orang tempatan dan gajinya, RM4,000 sebulan. Itu belum lagi duit barang jualan kitar semula. Satu lori boleh dapat RM150, bahagilah empat. Lepas untuk makan tengah hari. Mereka ini kita akan bawa untuk buat pemeriksaan kesihatan, enam bulan sekali,” katanya yang mengambil berat tentang kesihatan pekerja.

Beliau menjelaskan setiap lori telah diberi jadual untuk melakukan kutipan sampah di kawasan yang ditetapkan bagi mengelak kesesakan.

“Kalau di kawasan Petaling Jaya, lori saya akan keluar pukul 3 pagi, sebab ia kawasan sesak. Waktu itu selesa untuk bekerja kerana tak ada kereta menghalang.

“Pukul 6 pagi lori masuk taman perumahan. Sebab itulah, Ahad, lori sampah kutip di kawasan kedai saja. Untuk kawasan rumah, Isnin sampai Sabtu,” jelasnya secara terperinci jadual kerja pengutip sampah.

Jelasnya, tugas pengutip sampah tidak habis di situ. Selepas selesai mengutip sampah, lori akan pergi ke kawasan pelupusan yang terletak di Jeram.

“Dari Petaling Jaya untuk ke Jeram, ambil masa kira-kira dua jam. Katalah lori sampai pukul 3.30 petang di tapak pelupusan, kena tunggu giliran pula. Sampah-sampah yang nak dibuang itu kena timbang dulu sebab kami kena bayar.

“Purata satu tan sampah, syarikat perlu bayar RM50, kalau satu lori ada 12 tan sampah, kiralah. Itu yang kosnya untuk satu hari. Kita orang kutip sampah, lepas tu buang sampah dan kita orang kena bayar.

“Perlu bayar sebab yang mengurusakn sampah di tapak pelupusan itu akan meratakan dan menimbus sampah kerana ia tidak boleh bakar. Setakat ini terdapat tujuh tapak pelupusan di sekitar Lembah Kelang termasuklah di Tanjung 12 dan Bukit Tagar,” ceritanya untuk pengetahuan umum.

Katanya, nak jadi tauke bukan senang kerana sebagai ketua, orang itu perlu jujur dengan kakitangan. Setakat ini kata Mohd. Shahrul Nizam, beliau belum pernah hadapi masalah kekurangan kakitangan.

“Saya selalu menjaga kebajikan dan gaji pekerja. Kalau kita jaga, mereka tak akan mogok. Kita suruh apa pun mereka akan pergi. Saya suka kalau ada anak-anak tempatan yang nak bekerja tapi sudah berapa tahun saya buat bisnes ini belum ada lagi.

“Saya dulu habis waktu sekolah, saya part time pasang khemah, bersihkan meja orang kahwin. Sekarang ini tak ada. Saya belum pernah didatangi lepasan sekolah yang datang tanya nak buat part time cuci lori,” katanya yang sedia membantu mereka yang memerlukan pekerjaan.

Tambahnya, untuk berjaya, pelajaran penting tapi itu bukan 100 peratus menjamin kejayaan. Belajar tinggi tapi kehidupan tak bagus kerana tidak mengikut hukum yang ada, itu bukan kejayaan.

“Saya datang dari keluarga susah dan bila lihat kawan-kawan hidup mewah, ada ketikanya rasa terasing juga. Di situ yang merubah kehidupan saya. Saya tak ada apa yang nak dijual selain semangat.

“Masa sekolah, cita-cita nak jadi askar tak terlintas pun nak jadi bisnesman sebab keluarga bukan orang senang, mana nak cari modal. Saya mula berniaga dari zaman bujang lagi. Saya berniaga burger. Macam-macam pekerjaan saya lakukan sebelum saya menjadi seperti sekarang,’ katanya mengimbas semula cabaran yang dilalui sebelum ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here