Covid-19: Rayu sumbangan, 78 mangsa Covid-19 di Alor Gajah

0
366
SEBAHAGIAN daripada kakitangan APM negeri Melaka bersama Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman (berbaju merah hadapan) yang melawat Pusat Kuarantin Covid-19 di CREaTe, Alor Gajah, Melaka, semalam.

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA – Seramai 78 orang diletakkan dalam kategori PUI (orang di bawah siasatan) disyaki pembawa wabak Covid-19 ditempatkan di  Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi  Jabatan Kerja Raya (CREaTe), di Alor Gajah yang dijadikan Stesen Pusat Kuarantin Covid-19 yang dibuka sejak semalam (20 Mac).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Melaka (APM), Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, pusat kuarantin yang dibuka sejak semalam itu bertujuan untuk menempatkan rakyat di negeri ini yang disyaki pembawa Covid-19 dapat dirawat di sini.

Menurutnya, pusat itu menyediakan pelbagai kemudahan untuk merawat mereka yang disyaki pembawa Covid-19 mempunyai 200 bilik dan kelengkapan yang dibuat bagi memudahkan rawatan dilakukan.

“Pusat ini mempunyai 120 kakitangan terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan yang bersedia merawat sesiapa sahaja yang disyaki pembawa Covid-19. Bagaimanapun, jumlah petugas yang sedia ada akan dikurangkan tidak lama lagi.

“Kawalan ketat dilakukan di CREaTe bagi memastikan mereka yang dirawat tidak dapat
keluar balik ke rumah masing-masing dan orang ramai tidak dibenarkan melawat ke sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehingga kini satu kematian pertama dicatat di Melaka hari ini apabila seorang lelaki berusia 50 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka.

Mangsa disahkan meninggal dunia jam 1.30 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Sebanyak 304 kes Covid-19 dicatatkan di Melaka dengan 297 daripadanya dalam kategori pengawasan di rumah, 25 kes masih dirawat di hospital, tujuh di pusat kuarantin di Hospital Melaka, manakala 17 lagi disahkan positif.

Dalam pada itu, Effendy turut merayu orang ramai untuk menyumbang beberapa barangan keperluan untuk kegunaan mangsa yang dirawat seperti telekong, sejadah, berus toilet, sabun basuh lantai dan jamban.

Katanya, mana-mana pihak yang ingin menyerahkan bantuan tersebut boleh datang ke Pusat Kuarantin CREaTe di Alor Gajah.

“Mereka hanya boleh menyerahkan bantuan di pondok pengawal keselamatan dan mereka tidak dibenarkan memasuki pusat kuarantin itu,” ujarnya.

Setakat ini katanya, sumbangan yang diterima daripada orang ramai adalah seperti sejadah, air mineral dan al-Quran.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here