Masih ada esokkah Bersatu?

Pemecatan dan penarikan peruntukan ketika negara sedang bertungkus lumus mengekang wabak COVID-19 dilihat kurang sesuai. Ia dilihat lebih mengutamakan politik 'balas dendam' ketika semua tenaga perlu digembeleng menghadapi COVID-19.

0
483

Oleh AHMAD ABD HAMID

MELALUI surat bertarikh 18 Mac 2020, Presiden Bersatu merangkap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memecat Setiausaha Agung parti itu, Datuk Wira Marzuki Yahya tanpa memberi alasan.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam reaksinya melalui surat yang dihantar kepada Muhyiddin, membantah tindakan tersebut dan menyifatkannya tidak sah serta wajar diketepikan.

Tun juga membantah pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri untuk menggantikan Marzuki.

Hamzah ialah Ahli Parlimen Larut yang memenangi kerusi tersebut atas tiket UMNO pada PRU-14. Beliau kemudian melompat masuk Bersatu pada Februari 2019 bersama lima lagi ahli parlimen UMNO lain.

Dalam kehangatan ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, juga daripada Bersatu, mendedahkan beliau tidak lagi tersenarai menerima peruntukan bagi kawasan parlimen yang diwakilinya.

Beliau mendakwa telah meminta pengesahan daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) dan dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri sendiri yang tidak menyenaraikan parlimen Muar.

Bukan rahsia lagi Marzuki dan Syed Saddiq adalah penyokong setia Tun dan tidak sehaluan dengan Muhyiddin dan kerajaan pusat.

Justeru pastinya persepsi umum ialah apa yang dilakukan terhadap Marzuki dan Syed Saddiq adalah tindak balas kerana kedua-duanya tetap setia menyokong Tun.

Pemecatan dan penarikan peruntukan ketika negara sedang bertungkus lumus mengekang wabak COVID-19 dilihat kurang sesuai. Ia dilihat lebih mengutamakan politik ‘balas dendam’ ketika semua tenaga perlu digembeleng menghadapi COVID-19.

Sepatutnya kepentingan negara lebih diutamakan. Kepentingan politik biarlah diketepikan dahulu sehingga masalah yang mendepani negara selesai.

Tapi apakan daya politik tetap politik. Barangkali suasana politik yang bergolak sekarang, khususnya dalam Bersatu, menyebabkan apa yang berlaku sekarang terjadi.

Kemungkinan tindakan ini diambil dalam usaha Muhyiddin mengukuhkan kedudukan dalam parti dengan menyingkir atau mengetepikan mereka yang tidak sehaluan dengannya.

Jika tiada penangguhan, pemilihan pucuk pimpinan parti dijangka diadakan pada Jun. Tun telah disahkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu.

Bagaimana pun Muhyiddin pula bakal ditentang oleh Timbalan Presiden merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, seorang lagi tokoh yang tidak sehaluan dengan beliau.

Seorang lagi pencabar Muhyiddin ialah Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Cheras, Mohd. Faiz Azleesham.

Diakui atau tidak, Bersatu kini dalam kemelut dan terbahagi kepada kem Tun dan Muhyiddin. Kerana itulah Muhyiddin dilihat mahu memperkukuh kedudukan dalam parti dan mendapatkan lebih banyak sokongan untuk mempertahan jawatan.

Selepas apa yang berlaku kepada Marzuki dan Syed Saddiq khususnya, persoalan seterusnya ialah adakah ia akan berhenti setakat itu?

Dengan tindakan Mukhriz mahu menentang Muhyiddin, mungkinkah Mukhriz juga menghadapi risiko dipecat daripada parti? Atau mungkinkah beliau juga tidak akan lagi menerima peruntukan bagi parlimen Jerlun yang diwakilinya?

Bagaimana pula dengan nasib Dr. Maszlee Malik, wakil rakyat Simpang Renggam yang juga penyokong setia Tun? Adakah beliau akan menerima nasib sama seperti Syed Saddiq?

Malah lebih menarik untuk diteliti ialah adakah nasib sedemikian akan juga menimpa Tun yang mewakili parlimen Langkawi?

Yang jelas bibit-bibit gendang perang sudah mula dipalu. Walau dikatakan ada usaha meminta Mahathir memujuk anaknya agar tidak bertanding menentang Muhyiddin, belum ada kata putus hingga kini.

Oleh itu sama ada akan ada ‘gencatan senjata’ atau perang tetap berlaku, akan sama-sama disaksikan.

Sayang sekali Bersatu yang ditubuhkan untuk menumbangkan UMNO kini berhadapan dengan duri dan api setelah berjaya menduduki Putrajaya.

Pada usia muda dan tidak sampai dua tahun memerintah, ia kini menghadapi gelombang ujian besar selepas Muhyiddin membawa parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH). Masih adakah esok yang cerah untuk Bersatu?

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here