Isra’ dan Mikraj: Pengorbanan Besar Rakyat Palestin

0
163
FOTO: Wikimedia Commons/ Magne Hagesæter / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0)

Oleh DATO’ HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

SEMPENA Isra’ dan Mikraj saya menulis bagi menzahirkan sokongan saya kepada rakyat Palestin walaupun saya sedar ketika ini negara kita sendiri sedang dilanda wabak Covid-19. Rakyat Palestin menyabung nyawa mempertahankan Baitul Maqdis  dan tanah air mereka dari jatuh ke tangan Rejim Zionis. Sudah ramai yang gugur syahid namun perjuangan mereka tetap diteruskan.

Kekejaman Rejim Zionis sudah tidak lagi berselindung. Acapkali setelah kekejaman rejim zionis dilakukan maka tampillah kecaman, kutukan dan demontrasi membantah kekejaman tersebut di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Rejim zionis telah lali dengan kutukan dan kecaman antarabangsa itu. Ia tidak sedikitpun menakutkan Rejim Zionis yang berselindung di belakang kuasa-kuasa besar dunia. Mereka sangat faham  umat Islam sendiri berpecah-belah dan terlalu mementingkan diri sendiri,  tidak berupaya mempertahankan saudara seagama kita di Gaza dan Palestin. Bumi Palestin sentiasa dibasahi darah para syuhada’ yang mempertahankan kedaulatan negara dan agama.

Sudah tiba masanya untuk bertindak, tidak hanya menyuarakan kecaman semata-mata. Kemungkaran besar yang dilakukan oleh Rejim Zionis ini perlu ditangani mengikut tatacara yang diajarkan sendiri oleh Rasullullah sebagaimana yang pernah disabdakan oleh baginda yang bermaksud “ Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah mencegahnya dengan tangan (kekuasaan) jika sekiranya dia tidak berkemampuan maka hendaklah dia mencegahnya dengan lidah (suara) dan sekiranya masih tidak berkemampuan maka hendaklah dia mencegahnya dengan hati (menyatakan kekesalan), dan ia adalah selemah-lemah iman.”

Piawaian yang digunakan oleh Rasulullah dalam mencegah kemungkaran adalah berbeza mengikut kemaslahatan dan tahap keimanan kita. Jika sekiranya kekejaman rejim zionis ini kita hanya merasakan tidak puas hati sahaja maka iman kita adalah berada di dalam tahap yang sangat kritikal dan lemah. Namun sekiranya dengan bersuara membuat kecaman, kutukan dan menzahirkan rasa benci maka tahap keimanan sedikit meningkat dari tahap yang pertama tadi. Tetapi yang terbaiknya ialah seorang Muslim itu dapat mencegah kemungkaran menerusi kekuasaaan yang ada.

Dalam konteks kekejaman Rejim zionis ini, tahap yang kedua sudah tidak lagi berkesan kerana Rejim Zionis langsung tidak mengendahkannya. Apatah lagi kuasa-kuasa besar yang melindungi mereka kelihatan kebal dan tidak dapat dipatahkan.

Umat Islam perlu bersatu membentuk satu pasukan yang kuat  menggunakan sebarang kelebihan yang ada bagi menolak kemungkaran. Umat Islam perlu berani, menolak kepentingan diri dan ikhlas walaupun menongkah arus tidak seiring dengan kuasa-kuasa besar.

Tindakan Rajim Zionis adalah suatu jenayah terhadap keamanan dan kemanusiaan (Crime against the peace and humanity). Serangan yang dilakukan di perairan antarabangsa beberapa tahun lepas terhadap kapal yang mengibarkan bendera beberapa negara berdaulat yang mana Israel tidak berperang dengan negara-negara tersebut seperti  Turki, Greece dan Amerika Syarikat  suatu ketika dahulu  melalui kapal Mavi Marmara umpamanya boleh disifatkan sebagai peperangan terhadap negara-negara tersebut.

Perkara 6 Charter Provisions of Nuremburg Trials mentafsirkan jenayah terhadap keamanan bermakna “ merancang, menyediakan, memulakan atau melaksanakan suatu peperangan atau penindasan, atau peperangan yang melanggar perjanjian atau triti antarabangsa ataupun menyertai dalam rancangan bersama atau konspirasi untuk mencapai apa yang dimaksudkan tadi” manakala jenayah terhadap kemanusiaan pula adalah “pembunuhan… deportasi dan sebarang perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam sebelum atau semasa peperangan..”

Peraturan Konvensyen Hague 1907 Bab II pula menyebut kapal-kapal yang melaksanakan misi keagamaan, sains dan pilantropi mestilah dikecualikan dari tahanan.

Oleh itu Israel tidak mempunyai kuasa yang sah menyerang Mavi Marmara beberapa tahun lepas  secara ketenteraan, tidak boleh menaiki kapal tersebut secara paksa, menahan kapal tersebut apatah lagi menyerang penumpang-penumpang yang tidak bersenjata, membunuh, mencedera dan memenjarakan mereka. Barangan peribadi aktivis keamanan ini juga telah dirampas dari pegangan mereka.

Ini adalah antara contoh kekejaman dilakukan Rejim Zionis bukan sahaja kepada rakyat Palestin tetapi juga masyarakat antarabangsa.

Berbalik kepada tindakan yang perlu kita lakukan, masyarakat Islam khususnya dan masyarakat antarabangsa tanpa mengira ras, agama dan warna kulit pelu mengheret Israel ke muka pengadilan atas jenayah yang dilakukan itu iaitu jenayah terhadap keamanan dan jenayah terhadap kemanusiaan. Mahkamah antarabangsa perlu memutuskan perkara ini.

Keadilan perlu dilakukan, kekejaman Rejim Zionis perlu dihapuskan. Barulah keamanan dunia akan dikecapi. Sudah sampai masanya kita tidak hanya mencegah kemungkaran dengan suara sahaja tetapi menggunakan kekuasaan dan akal fikiran kita bagi mendatangkan keamanan sejagat. Kezaliman dan kekejaman Zionis ini perlu diberhentikan. Sekutu-kutu Israel perlu menilai kembali sokongan mereka terhadap Rejim Zionis ini kerana Rejim ini sendiri tidak mengambil endah nyawa dan keselamatan rakyat sekutunya sendiri.

Saya teringat ketika menziarahi Baitul Maqdis beberapa tahun lalu terbaca di sebuah tanah perkuburan Islam kata-kata seperti berikut ‘Bukanlah Hari Raya itu dengan memakai pakaian baru tetapi sesungguhnya Hari Raya itu adalah mati syahid’.  Begitu membara semangat warga Palestin menentang keganasanan Rejim Zionis di sana. Mereka tidak mementingkan perayaan tetapi perjuangan membebaskan bumi barokah ini.

Sempena Isra’ dan Mikraj ini di mana Rasulullah saw sendiri sampai ke Baitul Maqdis sebelum mikraj, apakah kita yang cintakan Rasulullah saw ini hanya berdiam diri dan redha kepada penindasan yang dilakukan di sana.

 

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here