Longgar syarat visa di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (MCO)

Oleh DATO PROF EMERITUS HASHIM YAACOB & ADI SUKMA

KEPADA YB Menteri Dalam Negeri yang dikasihi dengan segala hormat,

Sewaktu negara dalam krisis ini, kami menulis secara ringkas kepada YB Menteri bagi pihak rakyat asing yang visa mereka memasuki Malaysia akan tamat sebelum berakhirnya tarikh berkurung pada 31 Mac ini.

Kami dapati ramai rakyat asing kini berada dalam keadaan ini.

Mereka mahu pulang ke negara masing-masing tetapi sangat takut dijangkiti Covid-19 sewaktu perjalanan pulang mereka.

Lagi pula kita berada dalam perintah kawalan pergerakan pada waktu ini.

Kami dengan rendah hati bagi pihak rakyat asing ini, memohon diberi pertimbangan oleh YB Menteri Dalam Negeri yang dikasihi, supaya melanjutkan tarikh tamat visa mereka sehingga ke satu tarikh yang difikirkan selamat oleh Kerajaan Malaysia.

Kes 1:

Seorang warganegara Indonesia yang masuk ke Malaysia menerusi visa sebulan kini “terperangkap” dalam Perintah Kawalan Pergerakan dan tempoh visanya hampir luput. Beliau tidak boleh bergerak dan keluar dari negara ini.

Beliau juga bimbang dijangkiti untuk bergerak dari Kuala Lumpur untuk ke pelabuhan di Johor untuk menaiki feri ke Batam, Indonesia.

Kes 2:

Seorang profesor warganegara Jepun berada di negara ini untuk sabatikal di sebuah universiti awam tempatan selama setahun. Mengiringi beliau ialah isterinya dan seorang anak.

Visa profesor berkenaan ialah selama setahun. Beliau tiada masalah dengan visa itu. Bagaimanapun visa isteri dan anaknya hanya diberi visa pelancong untuk tempoh tiga bulan dan akan luput dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Profesor itu berhasrat membawa isteri dan anaknya ke Bangkok untuk memperbaharui visa itu sebelum masuk semula ke Malaysia. Bagaimanapun Thailand juga sudah menutup negaranya.

Keluarga Jepun itu juga terperangkap dalam perintah ini.

Dalam tempoh krisis ini tiada carakah kelonggaran diberikan dalam kes-kes seumpama itu?

Sekian terima kasih di atas pertimbangan YB Menteri.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here