Kini cuma tinggal 28 negara, 13 wilayah masih bebas Covid-19

0
15724
GRAFIK: CDC.

Oleh AMREE AHMAD

SERIUS…Kecuali benua Antartika yang biasanya dirujuk sebagai Kutub Selatan, penularan wabak Covid-19 pada ketika ini jelas berjaya meliputi hampir semua negara di seluruh dunia.

Ia babit 167 negara dan wilayah berdaulat dengan catat lebih 340,000 kes dan daripada jumlah itu, hampir 15,000 pesakit telah maut manakala 98,800 pesakit lagi berjaya sembuh kembali.

Justeru hanya berbaki 28 buah negara dan 13 wilayah yang dianggap masih lagi bebas daripada penyakit virus korona berbahaya itu menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Uniknya jika diteliti, secara kebetulan kesemua negara dan wilayah terbabit tiada pun restoran makanan segera popular McDonald’s atau pun kafe minuman kopi premium ternama Starbucks.

Berdasarkan data terkini, cuma Eropah sahaja yang menyaksikan kesemua negara di benua itu sudah ada Covid-19 dengan lebih 77,000 kes disahkan dan 3,400 maut, majoriti besarnya di Itali.

Sejak bermula di Perancis pada 24 Januari waima kematian pertama di benua ini iaitu pelancong warga China pada 14 Februari di Paris, Eropah kini diisytihar WHO sebagai hub pandemik baru.

Bayangkan, negara terkecil di dunia seluas 44 hektar dengan 1,000 penduduk, Vatican City pun ada satu kes Covid-19 ekoran dikelilingi Itali; negara paling tinggi pesakit wabak itu di luar China.

Ia gara-gara sikap tidak ambil peduli puluhan juta rakyat negara tersebut apabila diarah kerajaan untuk kekal di rumah dan anggap tindakan kuarantin itu kononnya langgar hak asasi manusia.

Padahnya Itali kini merekodkan 59,138 kes positif Covid-19 dan 5,476 kematian, jauh lebih tinggi berbanding China sendiri sekadar 3,261 mangsa maut daripada keseluruhan 81,054 pesakitnya.

Namun, ada puluhan negara kekal ‘ceria’ dengan benua Afrika paling banyak meliputi 11 negara berdaulat, dua negara yang tidak berdaulat atau diiktiraf dunia dan sebuah wilayah berdaulat.

Negara itu ialah Botswana, Burundi, Comoros, Guinea-Bissau, Lesotho, Libya, Malawi, Mali, Sao Tome and Principe, Sierra Leone dan Sudan Selatan di samping Somaliland serta Sahara Barat.

Wilayah berdaulat pula ialah Saint Helena, Ascension and Tristan du Cunha, sebuah gugusan tiga buah pulau pentadbiran seberang laut kerajaan British terletak di selatan Lautan Atlantik.

Di Asia, benua terbesar dunia, hanya ada enam negara dianggap WHO sebagai ajaib apabila bebas kes Covid-19 iaitu Tajikistan, Turkmenistan, Myanmar, Laos, Korea Utara dan Yaman.

Situasi sama dilapor di benua Oceania dengan 10 negara di Lautan Pasifik itu tiada wabak ini iaitu Kiribati, Marshall, Micronesia, Nauru, Palau, Samoa, Solomon, Tonga, Tuvalu dan Vanuatu.

Juga dua wilayah berdaulat, Cook Islands dan Niue. Faktor geografi dan agak terpencil turut ‘menyelamatkan’ Falkland Islands, sebuah pulau pentadbiran British di benua Amerika Selatan.

Ironi, kesemua 12 negara dan sebuah wilayah berdaulat pentadbiran kerajaan Perancis, French Guiana sudah ada pesakit Covid-19 sejak kes pertama dicatatkan di Brazil pada 26 Februari lalu.

Jirannya, Amerika Utara pula daripada 23 negara, hanya Belize dan St. Kitts & Nevis tiada kes selain wilayah berdaulat Anguilla, Virgin, Saba, St. Pierre & Miquelon, St. Eustatius dan Turks & Caicos.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here