IOC sedia tangguh Olimpik Tokyo 2020 tetapi enggan batalkan

0
495
THOMAS Bach mengumumkan langkah perancangan senario terbaharu Sukan Olimpik Tokyo 2020 meliputi meneruskannya pada 24 Julai hingga 9 Ogos atau meminda tarikh mulanya. - Foto olympic.org

Oleh KAKI BANGKU

JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) semalam memperkenalkan perancangan senario bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 termasuk kesediaannya untuk meminda jadual asal temasya edisi ke-32 itu pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

Namun perancangan ini menurut siaran media IOC dalam laman sesawangnya, olympic.org, tidak sesekali akan membatalkan terus Olimpik Tokyo gara-gara kebimbangan dunia terhadap penularan wabak maut, Coronavirus (Covid-19) ketika ini.

Keputusan memperkenalkan perancangan senario itu diambil Lembaga Eksekutif (EB) IOC dengan matlamat utama, melindungi kesihatan semua yang terlibat dalam Olimpik 2020 dan menyumbang kepada pembendungan Covid-19.

“Perancangan ini berkaitan dengan pengubahsuaian pelan operasi sedia ada bagi Olimpik Tokyo untuk diteruskan pada 24 Julai dan pindaan tarikh mula temasya itu,” kata siaran media itu.

Langkah ini jelas siaran itu, akan meningkatkan tahap pandangan IOC terhadap perkembangan yang pesat berubah mengenai keadaan kesihatan seluruh dunia dan di Jepun sekali gus bertindak sebagai asas keputusan terbaik demi kepentingan atlet-atlet dan semua orang lain yang terlibat.

“EB IOC menekankan bahawa satu pembatalan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak akan menyelesaikan mana-mana masalah atau membantu sesiapa. Justeru, pembatalan bukan termasuk dalam agenda kami,” tambah siaran itu.

PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Greece, Spyros Capralos (kiri) menyerahkan Obor Sukan Olimpik kepada wakil Jawatankuasa Pengelola Tokyo 2020 yang juga bekas perenang temasya Atlanta 1996, Naoko Imoto. – Foto olympic.org

Menurut siaran itu lagi, mengekalkan jadual asal Olimpik 2020 atau meminda tarikh permulaannya seperti dalam perancangan senario terbaharu IOC ini diambil atas dua perkembangan semasa dunia.

“Pada satu situasi, terdapat perkembangan jelas di Jepun di mana rakyat mengalu-alukan obor Olimpik (yang tiba dari Athens, Greece, Jumaat lalu) yang menguatkan keyakinan IOC kepada tuan rumah Jepun.

“(Ini menunjukkan) bahawa IOC mampu dengan kekangan keselamatan tertentu, menganjurkan Sukan Olimpik di negara itu sambil menghormati prinsipnya untuk melindungi kesihatan semua orang yang terlibat.

“Dalam situasi lain, terdapat satu kenaikan dramatik dalam kes-kes baharu Covid-19 di negara-negara berbeza di benua-benua berlainan. Ini mendorong EB merumuskan bahawa IOC perlu mengambil langkah seterusnya dalam perancangan senario itu,” kata siaran itu lagi.

Antara perancangan senario itu jelas siaran itu, mengandaikan sejumlah venue yang kritikal diperlukan bagi Sukan Olimpik bakal tidak dapat digunakan lagi.

“IOC akan membuat penyelarasan dan kerjasama penuh dengan Jawatankuasa Pengelola Tokyo 2020, pihak berkuasa Jepun dan kerajaan metropolitan kota raya itu menerusi perbincangan dan penilaian lengkap perkembangan pesat keadaan kesihatan seluruh dunia dan kesannya kepada Olimpik 2020 termasuk senario penangguhan.

“IOC yakin kami akan memuktamadkan perbincangan ini dalam tempoh empat minggu berikutnya dan amat menghargai persaudaraan dan perkongsian NOC (majlis Olimpik kebangsaan) dan IF (persekutuan sukan antarabangsa) dalam menyokong atlet-atlet dan menyesuaikan perancangan temasya,” kata siaran berkenaan.

Presiden IOC, Thomas Bach menurut siaran itu, telah menulis kepada komuniti atlet dunia selepas mesyuarat EB semalam untuk memberikan penjelasan mengenai pendekatan terbaharu badan induk berkenaan.

“Nyawa manusia lebih utama daripada segala-galanya termasuk melangsungkan Sukan Olimpik. IOC mahu menjadi sebahagian penyelesaian itu. Saya harap dan kita semua sedang mengusahakannya, bahawa harapan sebegitu ramai atlet, NOC dan IF dari kelima-lima benua yang telah diluahkan, akan dipenuhi.

“Bahawa pada penghujung terowong yang segelap ini yang kita semua harungi bersama, tanpa mengetahui berapa lama akan berlaku, obor Olimpik akan menjadi cahaya di situ,” kata Bach.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here