Kos konsert saya hanya RM2.5 juta – Noraniza Idris

0
423
NORANIZA Idris yakin Konsert Malai Solo akan menjadi kenyataan.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

BARU-baru ini apabila penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu irama tradisional, Noraniza Idris mengumumkan akan mengadakan konsert berskala mega di Istana Budaya (IB) dengan kos RM8 juta ramai yang terkejut.

Apalagi dalam keadaan sekarang untuk mendapatkan dana sebanyak itu ada yang beranggapan ia adalah sesuatu yang mustahil.

Anggapan mereka bagi penyanyi yang sering mengadakan konsert di IB untuk mendapatkan penaja kos ratusan ribu ringgit pun kadangkala payah, inikan pulak sebanyak RM8 juta.

Konsert itu yang bakal diadakan pada 11 dan 12 September ini juga melibatkan pelbagai acara kebudayaan dari 10 negara ASEAN sempena Malai Fest.

Noraniza ketika dihubungi dan bertanya mengenai kos konsert tersebut menjelaskan;

“Saya tahu ramai yang meragui impian dan rancangan saya ini. Tetapi saya yakin dengan team yang ada, tiada yang mustahil jika kita berusaha demi memperjuangkan irama tradisional dan budaya kita.

“Sebagai penyanyi yang telah 30 tahun dalam industri, saya mahu konsert berskala mega pertama saya ini menjadi kenyataan.

“Dua tahun saya merancang semua ini dan saya yakin ada ruang untuk kami mendapatkan dana itu.”

Menurut Noraniza, beliau berharap konsertnya akan mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan.

Selain sokongan pihak kementerian, beliau yakin teamnya akan mendapatkan dana daripada pelbagai pihak kerana Malai Fest ini amat penting untuk memperkenalkan kebudayaan negara-negara ASEAN apalagi bagi Malaysia.

“Kos RM8 juta itu bukanlah untuk konsert sahaja malah ia meliputi program Malai Fest selama empat hari bermula 7 September.

“Melalui program itu akan diadakan seminar dan bengkel yang akan membincangkan tentang kebudayaan meliputi negara-negara ASEAN yang menyertainya.

“Program yang dirancang berlangsung di MATIC ini juga akan diserikan dengan aktiviti jualan untuk para peserta dan orang ramai.

“Kos untuk Malai Fest ini dianggarkan sebanyak RM5.5 juta dan untuk Konsert Malai Solo kosnya hanya RM2.5 juta sahaja.

“Menganjurkan konsert irama tradisional dan etnik kreatif ia memerlukan kos yang tinggi.”

Bagi Noraniza, sebagai penyanyi yang telah tiga dekad dalam industri dan memperjuangkan irama tradisional jika dana yang diperolehi tidak mencukupi untuk festival kebudayaan selama empat hari, beliau reda.

Baginya yang penting Konsert Malai Solo berskala meganya itu dapat direalisasikannya.

Menurut Noraniza, konsertnya memerlukan dana sebanyak itu kerana bukan setakat beliau di pentas tetapi seramai 32 orang artistari profesional, koir dan Orkestra Tradisional Malaysia akan mengiringi persembahannya.

Selain 32 artistari profesional, 200 penari lain yang dipilih melalui road tour seluruh Malaysia bermula Jun ini dan lapan orang setiap negara ASEAN akan turut menyerikan konsertnya.

Mengenali Noraniza yang digelar Ratu Irama Malaysia dan pernah tiga kali memenangi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-13,14 dan 15 ( 1998-2000) tentu anda dapat membayangkan bagaimana persembahannya di pentas IB nanti dengan penari seramai 200 orang silih berganti!

“Sudah sekian lama saya menyimpan hasrat dan idea tentang konsert ini, saya tidak mahu ianya terlepas begitu sahaja.

“Saya telah menyiapkan kertaskerja konsert dan Malai Fest, insyaa-Allah dana yang kami perlukan akan tercapai,” kata Noraniza dengan penuh yakin.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here