PKP Covid-19: Legenda Olimpik ’80 jaga cucu

0
173
HASSAN Sani (kiri), Santokh Singh, Soh Chin Aun dan James Wong - anggota skuad yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

LEGENDA bola sepak negara, Khalid Ali memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu sejak 18 Mac lalu dengan menjaga cucu-cucunya di kediamannya sambil menasihatkan rakyat Malaysia agar terus mematuhi arahan kerajaan itu.

Penjaring terbanyak Kelayakan Olimpik 1980 yang membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow ini berkata, tempoh perintah berkenaan turut memberikannya peluang untuk menikmati masa yang berkualiti dengan ‘generasi ketiga keluarga besar bola sepak Ali’.

HASSAN Sani (depan, kiri), Santokh Singh dan Khalid Ali (berdiri, empat dan enam dari kanan) bergambar dengan pasukan dan pegawai selepas kejayaan menjuarai Kelayakan Olimpik 1980 di Stadium Merdeka.

Perintah yang bakal berakhir 31 Mac ini bertujuan membendung penularan wabak pembawa maut, Coronavirus-19 (Covid-19) yang sudah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia termasuk 15 rakyat tempatan sehingga hari ini.

“Saya duduk di rumah dengan menjaga cucu-cucu saya buat sementara waktu ini. Sudah lama saya tinggalkan dia orang (mereka, sebelum ini),” katanya dalam pesanan menerusi rakaman video khas pada laman sesawang dan sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Turut menyampaikan pesanan itu bersama-sama Ab. Mohd. Khalid Mohd. Ali (nama sebenarnya), 63, ialah dua rakan sepasukan berkenaan, sayap kiri Datuk Hassan Sani, 62 dan bek tengah Datuk Santokh Singh Gurdial Singh, 67.

Skuad bimbingan mendiang Karl Heinz Weigang dan Datuk Mohamad Bakar itu walau bagaimanapun kempunan Olimpik Moscow atas arahan kerajaan Malaysia supaya memboikotnya sebagai membantah pencerobohan rejim komunis Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan.

Itulah kemaraan terakhir Malaysia dalam bola sepak Olimpik yang sudah berkemarau 40 tahun namun merupakan yang kedua berjaya dicapai selepas Munich 1972. Iraq dipilih menggantikan Malaysia ke Moscow.

“Dengar dan ikuti arahan kerajaan Malaysia dengan duduk di rumah supaya kita sama-sama dapat mengatasi penularan dan penyebaran Covid-19. Semoga penyakit ini dapat diatasi untuk kita menikmati balik aksi Liga Malaysia,” katanya.

Santokh pula berpesan: “Sama-samalah kita bantu kerajaan Malaysia dalam membendung penularan Covid-19. Pastinya ramai peminat tanah air yang merindui aksi Liga Malaysia dan Harimau Malaya (pasukan kebangsaan).

“Jadi kita perlu bekerjasama dengan duduk di rumah, kekal sihat dan hentikan Covid-19, Malaysia!,” katanya yang pernah digelar Kereta Kebal dalam gandingannya di barisan belakang dengan ‘Tauke’ Datuk Soh Chin Aun.

Ujar Hassan, “patuhilah arahan kerajaan, duduk di rumah dan jangan bersiar-siar dan jagalah kesihatan anda. Kepada peminat bola sepak tempatan, harap bersabar dan semoga semuanya (ancaman Covid-19) berakhir.”

Anak jati Labuan, Sabah inilah yang mengumpan dari sebelah kanan kepada Datuk James Wong yang menjaringkan gol kemenangan 2-1 terhadap Korea Selatan dalam perlawanan akhir kelayakan Kumpulan 2 Asia itu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 6 April 1980 untuk menempah tiket Olimpik Moscow.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here