Hari ketujuh PKP, sekatan jalan raya semakin ketat

    0
    536
    FOTO: NSTP/OSMAN ADNAN.

    PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ketujuh memperlihatkan pertambahan masa pelaksanaan sekatan jalan raya, jumlah operasi dan keanggotaan pasukan keselamatan negara yang bertugas bagi membendung jangkitan COVID-19 di dalam negara.

    Tinjauan Bernama di seluruh negara mendapati selain keadaan trafik bergerak lancar di kebanyakan jalan utama terutama di ibu negara dan ibu negeri yang selalunya sesak pada sebelah pagi dan petang, laporan berhubung kejadian jenayah juga berkurangan.

    Langkah itu bertujuan memastikan tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kerajaan itu dapat dipertingkatkan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

    Selain itu, di sekitar Kuala Lumpur mendapati dalam satu-satu sekatan, polis memperuntukkan setengah jam hingga satu jam bagi kenderaan melepasi sekatan jalan raya bagi jarak 500 meter yang antaranya melibatkan jalan utama di sekitar Jalan Kuching menghala ke pusat bandar yang mengambil masa sedikit panjang daripada kebiasaan sebelum kenderaan dibenar meneruskan perjalanan.

    Malah, polis juga meningkatkan kawalan di zon merah iaitu Titiwangsa, Kepong dan Lembah Pantai bagi mencegah jangkitan COVID-19 kerana masih berlaku pergerakan tinggi orang awam di tiga kawasan itu.

    Selain penggunaan anggota, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Affendi Buang menyatakan ATM akan menggunakan dron memantau 12 titik panas COVID-19 di seluruh negara.

    Pertambahan anggota tentera juga boleh dilihat apabila jika sebelum ini, hanya seorang anggota ATM dikerah membantu polis menjalankan sekatan jalan raya, namun ia berbeza apabila seramai tiga anggota ditempatkan di satu-satu kawasan sekatan seperti di Pahang.

    Perkara yang sama turut berlaku di Melaka, apabila polis bersama ATM kini mempertingkatkan sekatan jalan raya kepada empat operasi berbanding tiga operasi di setiap daerah terutama di pintu keluar dan masuk negeri itu.

    Dalam pada itu, di lain-lain negeri seperti Pulau Pinang dan Perlis memperlihatkan kerjasama pasukan keselamatan negara bersama pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk turut serta mengawal keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

    Pun begitu, lain pula di Perak, Selangor, Kelantan, Kedah dan Johor apabila pihak berkuasa tidak membenarkan khidmat ahli Rukun Tetangga bagi membantu polis dan tentera melaksanakan PKP.

    Dalam perkembangan lain, di Negeri Sembilan masih terdapat segelintir masyarakat yang didapati sukar mematuhi arahan PKP dengan memberikan alasan tujuan mereka keluar adalah untuk mendapatkan barangan keperluan dan makanan.

    Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Kanan berhubung PKP menyatakan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan setakat Isnin, kadar pematuhan rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan sehingga 95 peratus.

    Majlis Keselamatan Negara (MKN) dilapor akan bersidang sebelum tamat PKP pada 31 Mac ini bagi menentukan sama ada ia perlu dilanjutkan.

    — BERNAMA
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here