Covid-19: KKM gesa orang ramai tidak jalani ujian RTK tanpa nasihat pengamal perubatan

0
160

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai untuk tidak menjalani ujian teknik rapid test kit (RTK) dengan sewenang-wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat daripada pengamal perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana ia berpotensi menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian yang diperolehi.

“Ujian melalui teknik RTK yang kini terdapat di pasaran adalah bagi mengesan antibodi yang terhasil di dalam badan akibat jangkitan yang dialami. Antibodi muncul di dalam badan sekitar lima hingga lapan hari selepas jangkitan.

“Ujian RTK yang mengesan antibodi tidak dapat mengesan virus dan membuat pengesahan pantas jangkitan. Ini menyebabkan ia tidak dapat membantu dalam pengesanan awal kes COVID-19. Justeru, ujian RTK yang mengesan antibodi tidak disarankan untuk tujuan diagnosa COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata KKM menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) di makmal fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengesan kehadiran virus COVID-19 yang terdapat dalam badan pesakit.

Sekiranya ujian rRT-PCR COVID19 didapati positif, ia bermaksud individu tersebut telah dijangkiti COVID-19.

“Keputusan ujian yang tepat melalui teknik rRT-PCR adalah amat penting dalam pengurusan pesakit COVID-19 yang berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai agar tidak mendiskriminasi jemaah tabligh susulan terdapat kejadian penularan COVID-19 daripada kluster tersebut, sebaliknya bersama-sama membantu KKM mengesan kontak rapat dalam kalangan mereka.

“Janganlah kita persalahkan jemaah tabligh, janganlah kita diskriminasikan jemaah tabligh,  janganlah kita stigmakan jemaah tabligh. Apa yang penting, adalah kita bantu mengesan dan merawat jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kontak mereka,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata KKM dengan kerjasama MERCY Malaysia memberikan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat terutama kepada petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan emosi daripada kejadian COVID-19.

Mereka boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut dengan menghubungi talian 011-63996482 / 011-63994236 / 03-29359935  yang beroperasi dari 8 sehingga 5 petang setiap hari.

Sekiranya tidak sihat, orang ramai boleh menghubungi virtual health advisory dan mengikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula pada 9 pagi melalui pautan berikut bagi mendapatkan khidmat rundingan: http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here