Jangan simpan duit masjid, mungkin ada yang kelaparan

0
186
FOTO: Aziz A. Shariff.

Oleh AHMAD ABD HAMID

PERINTAH Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sehingga 31 Mac ini bukan setakat menjejaskan pergerakan dan ekonomi negara tetapi juga sebahagian besar kehidupan rakyat Malaysia pada ketika ini.

Semua sektor operasi dihentikan dan perniagaan ditutup kecuali yang berkait dengan bekalan makanan, perubatan dan keperluan asas rakyat.

Perkembangan semasa yang semakin membimbangkan memberikan kesan kepada mereka yang bergaji rendah dan pertengahan di sektor kerajaan dan swasta tetapi juga para penjual di kaki jalan dan pekerja rencam.

Lebih menyedihkan mereka yang sebelum ini hilang pekerjaaan dan juga gelendangan berkeluarga.

Siapakah yang akan memberikan mereka dan keluarga makan, sumber rezeki hanyalah bergantung ‘ada kerja adalah gaji’.

Kalau ada pun simpanan sedikit sebanyak semuanya hampir atau sudah habis digunakan.
Para pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja mungkin mampu menarik nafas lega apabila dibenarkan mengeluarkan caruman Tabung Akaun 2 dengan kadar maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan.

Bagaimana pula mereka yang baru bekerja, carumannya hanya sedikit cuma.

Dalam keadaan sukar ini, peranan membantu tidak seharusnya diserahkan kepada kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan serta orang ramai.

Institusi-institusi selain kerajaan patut turut memainkan peranan membantu mereka yang sangat memerlukan termasuklah pihak pengurusan masjid dan surau.

Kebanyakan masjid dan surau, terutama surau Jumaat, mempunyai simpanan kewangan yang banyak hasil sumbangan orang ramai atau badan-badan tertentu. Ini khususnya masjid-masjid di kawasan bandar, apatah lagi masjid-masjid yang popular.

Difahamkan ada masjid yang mempunyai simpanan sehingga ratusan ribu ringgit, atau puluhan ribu dan sekurang-kurangnya belasan ribu ringgit.

Sayangnya wang tersebut hanya banyak disimpan. Sepatutnya, selain untuk belanja keperluan masjid atau surau itu sendiri, wang simpanan hendaklah digunakan membantu golongan yang terdesak, terutama umat Islam sendiri.

Benar, wang itu mungkin juga mahu digunakan untuk membesarkan dan juga mengadakan sekolah tahfiz di kawasan masjid tetapi ia boleh ditangguh dahulu. Keadaan yang kini semakin mendesak, malah ini juga mungkin ujian Allah SWT terhadap pengurusan masjid.

Wang sumbangan orang ramai dan ahli kariah seharusnya dikembalikan kepada mereka dalam bentuk bantuan ketika ada ahli kariah yang dalam kesempitan dan benar-benar memerlukan bantuan.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan, tabung masjid wajar dimanfaatkan untuk membantu anak kariah yang memerlukan bantuan.

Ini bererti perkara tersebut boleh dan wajar dilakukan.

Pihak masjid atau surau tentunya sudah mempunyai senarai atau boleh bertindak membanci anak kariah yang tiada pendapatan seperti peniaga warung, pemandu teksi atau grab, juga pekerja gaji harian untuk diringan beban mereka.

Tiada guna kita meminta orang ramai menyumbang kepada masjid dengan mengeluarkan pelbagai hadis dan ayat Al-quran yang menunjukkan kelebihan berbuat demikian sedangkan pihak pengurusan sendiri dilihat keberatan.

Bukankah kita sering mendengar kata-kata yang menyatakan tidak berkurang harta yang dibelanjakan untuk membantu orang lain, bahkan bakal ditambah Allah SWT berlipat kali ganda lagi. Kenapa perlu bimbang untuk berbuat demikian.

Perlu diingat orang ramai atau ahli kariah yang menderma tidak mahu wang hanya disimpan sekadar membukit dalam akaun masjid atau surau. Penyumbang mahu ia dibelanjakan agar mendapat pahala berterusan.

Sudah sampai masanya perubahan minda dibuat dengan lebih prokatif dalam tadbir urus. Tanggung jawab anda bukan hanya mengurus masjid atau surau.

Sudah tiba masjid terutamanya menjadi pemangkin kebajikan dan kesejahteraan masyarakat sekitar supaya semua rakyat terbela. Belanjakan dana yang ada untuk tujuan murni ini. Jangan genggam tak tiris dengan derma orang ramai. Mulakan langkah sekarang dengan membantu anak kariah yang memerlukan.

BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here