Padah balik kampung, tanggung sendiri

0
6576
FOTO: NSTP/AIZUDDIN SAAD

Oleh AHMAD ABD HAMID

DISURUH tinggal di rumah tetap hendak juga berjalan-jalan, hendak juga balik kampung. Degil arahan tanggunglah akibatnya! Kini puluhan malah mungkin ratusan ribu warga bandar yang pulang ke kampung halaman tersadai di kampung masing-masing. Mereka tidak dibenarkan kembali ke bandar selama berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan.
Perintah tersebut yang dijadual berakhir pada 31 Mac kini disahkan disambung hingga 14 April seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media khas tengahari Rabu 25 Mac.

Ertinya lebih lamalah warga kota akan berada di kampung ketika kerajaan terus berusaha mengekang penularan wabak Koronavirus atau COVID-19. Suka atau tidak itulah realitinya.
Semua ini gara-gara kesilapan sendiri yang mengambil kesempatan menyalah tafsir atau menyalah guna cuti yang dikuatkuasa oleh kerajaan untuk balik kampung sedangkan cuti itu bertujuan menyuruh orang ramai duduk di rumah mematuhi perintah ‘lockdown’.
Dengan perintah kawalan pergerakan, mobiliti dapat dikurangkan dan interaksi dalam kelompok besar dapat dielakkan. Justeru usaha ini diharap dapat menghalang penyebaran COVID-19.

Malangnya orang ramai beranggapan sebaliknya. Bagi kebanyakan mereka, cuti panjang itu sesuai digunakan untuk makan angin atau balik kampung. Ramai berpusu-pusu di setesen-stesen pengangkutan awam untuk balik kampung, belum mengambil kira mereka yang berkenderaan sendiri.

Akibatnya matlamat menghalang percampuran atau interaksi dalam kelompok besar serta kosep ‘penjarakan sosial’ atau ‘social distancing’ tidak mencapai matlamat. Malah ia dibimbangi akan lebih mendatangkan mudarat kepada kelompok lebih besar, termasuk kaum keluarga, saudara mara atau rakan-rakan di kampung.

Tidak mengapalah jika sudah sampai ke kampung. Tetapi kini terimalah akibat daripada perbuatan sendiri yang engkar arahan. Jangan mimpi waktu ini untuk kembali ke bandar kerana kerajaan telah mengeluar dan menguatkuasa arahan, mereka yang telah berada di kampung hendaklah terus berada di sana.

Mahu melanggar arahan ini dan berdegil mahu kembali ke bandar? Jangan sekali-kali berbuat demikian. Polis telah memberikan amaran, pihak berkuasa sudah bersiap sedia untuk menahan mereka yang didapati engkar arahan supaya terus tinggal di kampung.

Untuk tujuan itu, tindakan diambil termasuk membuat sekatan di 23 tol plaza di sepanjang lebuh raya antara negeri di seluruh negara. Tidak mungkin anda dapat menembusi sekatan ini. Jika anda sampai di sekatan, anda akan diminta berpatah balik, sekali pun jika telah mengharungi perjalanan yang jauh.

Jadi, seperti kata Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, eloklah berada di mana anda berada. Jangan cuba-cuba hendak balik ke bandar kerana pihak berkuasa tidak akan membenarkan.

Difahamkan, sehingga 23 Mac 1,029 sekatan jalan raya diadakan dengan sejumlah 163,000 kenderaan diperiksa. Selain itu 2,481 pemeriksaan mengejut dijalankan di seluruh negara.

Jika anda melanggar PKP, jangan mengharap belas kasihan polis atau tentera. Peringkat memberi nasihat dan ingatan sudah berakhir. Kini, masa untuk lebih bertegas.

Tindakan tegas ini tidak perlu diambil jika orang ramai mendisiplinkan diri dengan mematuhi peraturan yang dibuat untuk kebaikan mereka sendiri.

Tapi sayangnya, tahap displin dalam kalangan orang ramai masih rendah. Nampaknya tindakan undang-undang dianggap jalan terbaik untuk mengajar dan ‘memaksa’ mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Ketika berdepan dengan isu kritikal seperti COVID-19, tonjolkanlah diri sebagai rakyat yang taat dan menyokong usaha kerajaan membendung wabak tersebut. Tidak susah, hanya tinggal di rumah. Kepada yang masih di kampung, selamat ‘bercuti panjang’.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here