Jangan berulang lagi kesilapan 17 Mac

0
827
FOTO: NSTP/AIZUDDIN SAAD

UCAPAN yang berterus terang. Mesejnya lebih jelas supaya matlamat serta tujuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) benar-benar difahami dan dipatuhi. Bermula dengan pertanyaan ‘apa khabar’ pada hari kelapan PKP, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkahirinya dengan doa supaya kita dilindungi wabak ini.

Ini amat berbeza dengan ucapan pertama semasa mengumumkan PKP. Akibat tidak jelas atau tidak ‘faham’, ramai yang ‘panik’ menyebabkan orang ramai kelam kabut membeli-belah serta balik kampung. Berkecai hasrat untuk mengelakkan pergerakan secara beramai-ramai.

Situasi itu menyebabkan Perdana Menteri terpaksa muncul semula keesokannya untuk memperingatkan mengenai tujuan dan matlamat PKP atau tempoh bercuti selama dua minggu sehingga 31 Mac ini. Cuti bukan untuk balik kampung, bersiar-siar, membeli-belah atau aktiviti melibatkan pergerakan ramai.

Beliau menggunakan bahasa yang lebih mudah dan berterus terang. Berulang kali menggunakan ayat-ayat seperti duduk diam-diam di rumah, jangan ke mana-mana dan stay at home. Orang ramai mula faham bahawa cuti itu bagi mengelakkan mereka bergerak ke sana sini. Wabak yang berjangkit melalui sentuhan itu perlu dihentikan. Rantaian Covid-19 perlu disekat daripada merebak.

Hari ini Perdana Menteri muncul dengan ucapan yang lebih jelas disulami dengan ayat-ayat berbahasa Inggeris supaya mereka yang tidak faham bahasa Melayu dapat memahaminya.

Mesej hari ini mengenai kes baharu yang meningkat dan dijangka terus meningkat. Kerajaan bersiap sedia. Pada masa yang sama melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April. Keputusan itu adalah usaha berterusan mencegah
penularan Covid-19 sehinggalah wabak ini dapat dibendung seterusnya memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya.

Bagi tujuan itu, sekali lagi pergerakan orang ramai mesti terus dikawal. Strategi kerajaan sekarang adalah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit Covid-19. Peningkatan kes akan berlaku apabila kontak baharu melibatkan pelbagai pihak seperti penumpang bas, kereta api dan perkhidmatan lain. Begitu juga perhimpunan atau majlis tertentu.

Maka pengumuman lanjutan itu yang dibuat seminggu lebih awal akan membantu rakyat supaya lebih bersedia dan tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Pihak keselamatan juga lebih bersedia.

Justeru, orang ramai jangan mengulangi semula suasana seperti sebelum ini. Pastikan PKP yang berbaki sehingga 14 April dipatuhi sepenuhnya. Tidak perlu melakukan pembelian panik walaupun gaji telah masuk dan bayaran pembiayaan pinjaman perumahan dan sebagainya boleh ditangguhkan.

Apa yang penting adalah mereka jangan melakukan pergerakan ke sani sini tanpa tujuan. Disiplinkan diri ketika keluar mendapatkan barang keperluan. Hanya seorang yang dilantik ketua keluarga untuk keluar. Kita tidak ada pilihan lain kecuali meningkatkan lagi kerjasama dengan mematuhi peraturan ini.

Bagi yang sudah berada di kampung setelah terperangkap dengan keghairahan yang dicetuskan 17 Mac lalu, kebetulan ketika cuti sekolah, pilihan yang ada adalah akur dengan rayuan kerajaan demi kepentingan bersama.

Sejak semalam ramai yang cuba untuk kembali ke rumah masing-masing di tempat mencari rezeki setelah lama bercuti di kampung tetapi tidak dibenarkan. Mungkin menjelang cuti yang dijadual berakhir 31 Mac ini lebih ramai berbuat demikian tetapi hasrat itu dipintas lebih awal dengan perutusan Perdana Menteri hari ini.

Buatlah perancangan lain untuk kekal di kampung atau di mana anda berada. Buang seketika cita-cita mahu balik kampung atau ke Kuala Lumpur atau ke mana mana sahaja. Kekalkan di mana anda berada sekarang sehingga 14 April

Kita mahu peratusan rakyat yang mematuhi arahan itu meningkat walaupun setakat ini 95 peratus telah mematuhi arahan sehingga jalan raya lengang. Mungkin angka 99 peratus tercapai sekiranya beberapa perkhidmatan termasuk pengangkutan awam lain dikurangkan secara berperingkat,

Mana-mana tempat awam yang masih beroperasi perlu ditutup. Penguatkuasaan yang lebih tegas termasuk penjarakan sosial. Rantaian wabak perlu disekat walaupun kes baharu akan terus muncul hasil tindakan berterusan untuk mengenal pasti dan menyaring pesakit.

Sekali lagi bagi yang sudah terlanjur berada di kampung, teruslah berada di sana bersama keluarga. Jangan rosakkan perancangan kerajaan yang mahu menjaga kesejahteraan bersama. Usah degil atau ingkar kerana kesannya amat buruk bukan sahaja kepada diri sendiri dan keluarga malahan rakyat dan negara.

Jangan sia-siakan usaha kerajaan ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here