8 pakej Rangsangan Ekonomi lebih RM682j untuk Sahabat AIM

0
407

KUALA LUMPUR – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat), memperuntukkan sejumlah RM682,357,904 sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi untuk Sahabat AIM kembali pulih bagi meneruskan kehidupan berikutan penularan wabak COVID-19.

Pengumuman jumlah berkenaan dibuat oleh Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz dalam satu
pekeliling dikeluarkan hari ini (25 Mac) sebaik sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas.

“AIM sangat prihatin terhadap kesan negatif yang diakibatkan oleh penularan wabak COVID19 yang telah menjejaskan aktiviti-aktiviti ekonomi Sahabat AIM.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan kepada mata pencarian mereka dan Sahabat AIM berdepan kesukaran untuk membuat pembayaran balik pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini, AIM telah mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh dua minggu.

“Bagaimanapun, kami mengambil kira pandangan mereka yang berada di lapangan,
terutamanya dari Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) dari seluruh negara termasuk keluh
kesah yang disampaikan sendiri oleh Sahabat yang berdepan kesukaran tidak dijangka ini.

“Justeru itu, AIM telah bersetuju melanjutkan tempoh berkenaan hingga 30 Mei 2020 malah turut menawarkan lebih banyak bantuan demi menjaga kebajikan Sahabat.

“Pakej Rangsangan Ekonomi AIM keseluruhannya berjumlah RM682,357,904,
turut melibatkan penyertaan dari Koop Sahabat dan saya kira menjadi satu pakej yang
lengkap bagi membolehkan Sahabat AIM menarik nafas lebih lega dan memberi
suntikan semangat untuk mereka kembali berniaga seperti biasa apabila keadaan pulih
sepenuhnya nanti,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Peringkat AIM dan Koop Sahabat
meliputi perkara-perkara berikut:-

i- Penangguhan kutipan bayaran balik mingguan sehingga 30 Mei 2020 tanpa sebarang caj
melibatkam 373,815 Sahabat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM555 juta.

ii- Kebenaran pengeluaran Simpanan Wajib (SW) semua Sahabat secara one-off dengan had pengeluaran sebanyak RM300 setiap seorang melibatkan RM112.5 Juta.

iii- Penangguhan bayaran ansuran I-Lestari dan I-Usahawan Koop Sahabat selama 3 bulan
tanpa sebarang caj tambahan untuk 400 peminjam berjumlah RM300,000.

iv- Penangguhan Lelongan Sahabat Ar-Rahnu melibatkan 1,500 peminjam/pencagar
berjumlah RM120,000 sehingga tamat tempoh PKP.

v- Pengagihan Zakat Perniagaan Koop Sahabat berjumlah RM621,104, Dana Bantuan
Kebajikan AIM berjumlah RM2.6 juta dan Dana Faedah Korporat AIM berjumlah RM1.14 juta kepada 17,444 Sahabat Asnaf terpilih dengan kadar RM250 seorang melibatkan keseluruhan dana berjumlah RM4,361,104.

vi- Menawarkan penggunaan Carlton Hotel Koop Sahabat kepada doktor, jururawat, atendan kesihatan, jurucuci dan lain-lain Frontliner Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara percuma melibatkan 80 bilik selama 8 hari yang berjumlah RM76,800.

vii- Penyediaan makanan Ready to Eat Sahabat Retort kepada Frontliner KKM sebanyak 515 bungkus.

viii- Memperuntukkan Pinjaman Tabung Kumpulan (PTK) membabitkan 10,000 Sahabat AIM dengan had maksima RM1,000 setiap pinjaman yang melibatkan jumlah keseluruhan RM10 Juta.

KENYATAAN MEDIA PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI COVID 19 AIM 250320

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here