Bank Islam tawar penangguhan bayaran semula pembiayaan

0
468
FOTO: NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

KUALA LUMPUR – Mulai 1 April 2020, Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) secara automatik menawarkan penangguhan atau penggantungan semua bayaran semula pembiayaan selama 6 bulan bagi pelanggan individu dan PKS, serta menyediakan permohonan moratorium untuk pelanggan korporat.

Kemudahan ini diberikan kepada pembiayaan yang mempunyai rekod pembiayaan baik; dalam denominasi Ringgit Malaysia serta bagi pelanggan yang serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April 2020.

Bagi kemudahan kad kredit, Bank Islam akan menawarkan pilihan untuk menukar baki pembiayaan kepada pembiayaan berjangka selama 3 tahun dengan kadar keuntungan yang rendah bagi membantu pelanggan menguruskan pembiayaan mereka dengan lebih baik.

Bank Islam dalam kenyataan berkata, penawaran penangguhan itu sebagai menyambut baik tindakan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (“BNM”) supaya pembayaran semula pembiayaan isi rumah, Perusahaan Kecil dan Sederhana (“PKS”) serta pelanggan korporat bank-bank tempatan ditangguhkan.

BNM hari ini mengumumkan beberapa langkah ke arah menyokong usaha institusi perbankan bagi membantu para pelanggan menangani impak wabak COVID-19.

Langkah berkenaan membolehkan institusi perbankan menumpukan terhadap menyokong perkembangan ekonomi negara dalam situasi luar jangkaan dan amat mencabar ini dengan memberi kelonggaran kepada institusi perbankan untuk bertindak pantas terhadap keperluan pelanggan mereka yang terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata: “Langkah-langkah yang diperkenalkan BNM bertepatan dengan keutamaan Bank Islam untuk memastikan kesejahteraan menyeluruh kepada warga kerja dan pelanggan kami.

“Ia akan mengurangkan keperluan aliran tunai yang secara tidak langsung meningkatkan pendapatan boleh guna individu serta melonggarkan aliran tunai bebas PKS. Ia seterusnya dapat memastikan pekerjaan dapat dikekalkan dan kelangsungan aktiviti ekonomi dalam situasi yang tidak menentu ini dapat diteruskan, kata beliau.

Sebelum ini Bank Islam telah mengambil langkah proaktif terhadap keperluan para pelanggan dengan menawarkan penjadualan serta penstrukturan semula pembiayaan termasuk moratorium kepada para pelanggan dalam sektor-sektor terjejas teruk akibat wabak COVID-19 ini seperti penerbangan dan pelancongan.

Mohd Muazzam menambah, “berikutan pengumuman BNM, para pelanggan yang sebelum ini telah menerima Moratorium COVID-19 Bank Islam atau telah memohon untuk penjadualan mahupun penstrukturan semula pinjaman pembiayaan mereka boleh menarik balik permohonan tersebut sekiranya mereka mahu; dan memohon penangguhan sebagaimana yang diluluskan oleh BNM, dengan syarat mereka memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.”

“Bank Islam sedang membuat persediaan pelaksanaan bantuan kewangan ini dan akan membuat pengumuman lanjut mengenainya dalam masa terdekat. Kami akan membuat makluman butiran terkini mengenainya menerusi laman rasmi Bank Islam (www.bankislam.com) atau platform media sosial kami seperti Facebook dan Instagram,” tambahnya lagi.

– BebasNew

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here