Liga Malaysia ditangguh lagi

0
47

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

SEMUA perlawanan Liga Malaysia 2020 ditangguhkan lagi ke tarikh baharu yang akan diumumkan semula ekoran pengumuman lanjutan terbaharu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Penangguhan kedua selepas 16 Mac lalu ini masih melibatkan pertandingan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta Liga Bola Sepak Amatur (AFL) serta kem latihan pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.

“Pertandingan itu ialah Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran, Liga Futsal Perdana Malaysia, Piala Presiden, Piala Belia, Liga M3 dan Liga M4,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam siaran media hari ini.

FAM katanya, telah mengambil maklum mengenai lanjutan PKP itu selepas 18 Mac hingga Selasa ini ekoran situasi semasa penularan wabak maut, Coronavirus (Covid-19) di seluruh negara.

Hamidin yang juga Presiden MFL menambah, FAM bersama-sama MFL juga akan mencari jalan penyelesaian berhubung situasi ini dengan pemegang taruh yang terlibat terutamanya pasukan, pemain dan pegawai selain Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Lanjutan penangguhan ini satu keputusan sukar tetapi harus dibuat demi kepentingan dan keharmonian rakyat yang menjadi keutamaan FAM dan MFL demi mencegah penularan Covid-19 apatah lagi terdapat peningkatan jangkitannya pada masyarakat ketika ini.

“Kami sedia maklum dengan masalah kewangan pasukan-pasukan kerana ketiadaan perlawanan yang menjejaskan sumber kutipan tiket stadium masing-masing sedangkan mereka masih perlu membayar gaji para pemain dan pegawai.

“Situasi seperti ini bukan kita minta dan tidak dapat dielakkan tetapi apabila berlaku, perbincangan dan persetujuan bersama perlu dicapai bagi memastikan kepentingan semua dijaga,” katanya.

FAM dan MFL juga katanya menyedari keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meminda beberapa tarikh penting melibatkan Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selain perlawanan-perlawanan Liga Juara Asia (ACL) ke Mei dan Jun ini.

“MFL sentiasa berhubung rapat dengan AFC untuk sebarang pemakluman terkini jika terdapat tarikh-tarikh baharu dimaklumkan kelak malah dalam mesyuarat khas dengan pihak penaja utama Liga M, mereka sudah pun menyatakan sokongan kepada sebarang keputusan kami berdasarkan arahan kerajaan,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here