Sukma 2020 ditangguhkan

0
107

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

SUKAN Malaysia (Sukma) Ke-20 di Johor yang dijadualkan dari 11 hingga 19 Julai ini ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian ekoran ancaman penularan wabak maut, Coronavirus-19 (Covid-19) di seluruh negara sekarang.

“Penangguhan ini mengambil kira aspek paling utama, keselamatan dan kesihatan atlet-atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terlibat dalam temasya tersebut,” umum Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam siaran media semalam.

Terdahulu beliau mempengerusikan Jawatankuasa Tertinggi Sukma secara sidang video dengan 14 Exco atau Menteri Belia dan Sukan Negeri, Ketua Setiausaha kementerian, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara serta Sekretariat Sukma Johor.

Jawatankuasa juga katanya, mengenal pasti dua cadangan tarikh baharu Sukma Ke-20 yang menjadi pilihan majoriti iaitu Disember 2020 atau dianjakkan ke 2021.

“Cadangan tarikh ini akan mengambil kira pemantauan berterusan perkembangan Covid-19 dan tiadanya pertindihan dengan tarikh-tarikh penting seperti peperiksaan awam, pertandingan sukan utama dan kepentingan semua pemegang taruh Sukma khususnya tuan rumah Johor.

“Jawatankuasa juga bersetuju agar tarikh baru Sukma Ke-20 akan diputuskan secepat mungkin pada mesyuarat akan datang, selewat-lewatnya pada awal Mei ini,” katanya.

Justeru jelasnya, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail telah diarahkan bekerjasama dengan Sekretariat Sukma Johor dalam membuat penelitian menyeluruh yang mengambil kira semua pemegang taruh.

“Penelitian ini merangkumi aspek-aspek kelayakan dan persiapan atlet, implikasi kepada aktiviti promosi, pemasaran, program-program pra-SUKMA, penajaan, penjenamaan, liputan media, persiapan logistik dan kemudahan pertandingan sukan khusus untuk dilaporkan kepada mesyuarat jawatankuasa ini akan datang,” katanya.

Mengenai penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sehingga tidak lewat musim panas 2021 seperti diumumkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) semalam, katanya, “saya mengalu-alukan keputusan IOC dan Jepun selaku penganjur yang telah mengambil kira situasi semasa Covid-19 demi menjaga keselamatan dan kesihatan atlet, pegawai dan semua yang terlibat.

“Kementerian dan MOM juga akan terus bekerjasama rapat untuk meneliti implikasi-implikasi keputusan tersebut terhadap atlet-atlet dalam masa terdekat ini,” katanya.

KENYATAAN MEDIA MENTERI KBS 25 MAC 2020 JKT SUKMA JOHOR DAN OLIMPIK FINAL

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here