Putrajaya tidak berhasrat laksana ‘total lockdown’, kata menteri

    0
    148
    FOTO: STR/FAIZ ANUAR.

    MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainudin memaklumkan Putrajaya masih tidak mempertimbangkan untuk melaksanakan sekatan sepenuhnya (total lockdown), seperti dilakukan beberapa negara lain dalam mengekang wabak Covid-19.

    Hamzah berkata, beliau secara peribadi amat berharap Malaysia tidak mencapai tahap yang bukan sahaja menjejaskan rakyat, tetapi memberi kesan dan impak tidak sihat kepada ekonomi negara.

    “Saya tidak mahu kita masuk sehingga ke peringkat itu, kalau boleh kita masih gunakan kaedah yang sama. Kalau kita masih lagi mampu gunakan kaedah yang sama, bermakna rakyat sebenarnya ikut arahan yang kita buat,” katanya dalam forum Ruang Bicara di Bernama.

    Menurut Hamzah, perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan Putrajaya pada ketika ini membolehkan perkhidmatan dalam negara terus beroperasi dan memastikan ekonomi negara terus berjalan.

    “Sebab itu saya minta kalau rakyat benar-benar memahaminya, supaya kita tidak masuk ke peringkat yang dinamakan ‘total lockdown’,” katanya.

    Bagaimanapun Hamzah berkata, masih ramai lagi rakyat yang tidak mematuhi arahan perintah kawalan yang dikeluarkan kerajaan.

    Menurutnya, ini dapat dibuktikan apabila polis sudah mengambil sebanyak 695 tindakan membabitkan individu yang melanggar arahan.

    “Berdasarkan laporan jumlah kes iaitu sebanyak 695, ia sendiri merupakan satu jumlah kes yang besar. Angka ini membuktikan ada lagi mereka yang degil,” katanya.

    Menurutnya, setakat ini seramai 28 individu sudah ditahan polis dan sebanyak 46 kes pada ketika ini sedang disiasat.

    “Kalau ramai yang degil, kemungkinan wabak ini akan bertambah besar dan kaedah lain mungkin terpaksa dilakukan,” katanya.

    Pada masa sama, Hamzah turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang cuba menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19. Menurutnya, setakat ini 94 kes sudah dibuka kertas siasatan, 6 lagi kes sudah dibawa ke mahkamah dan 5 didapati bersalah.

    https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/03/26/putrajaya-tidak-berhasrat-laksana-total-lockdown-kata-menteri/

     

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here