Agensi pelancongan rayu bakal jemaah tidak batal pakej haji, umrah

0
323
FOTO: Wikimedia Commons/Rammaum / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0)

PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) hari ini meminta bakal jemaah yang sudah membeli pakej haji dan umrah tidak terus membatalkan tempahan, sebaliknya hanya menjadual semula tarikh penerbangan mereka.

Presiden PAPUH Razali Mohd Sham berkata, langkah menjadual semula tarikh penerbangan merupakan pilihan terbaik antara bakal jemaah dan pihak agensi ketika in.

“PAPUH sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan mereka yang terlibat seperti syarikat penerbangan yang membuat penerbangan terus ke Arab Saudi.

“Hasil perbincangan, syarikat penerbangan bersetuju memberikan kelonggaran dengan memberikan kemudahan penjadualan semula tarikh penerbangan baru.

“PAPUH berharap dengan adanya tarikh baru yang ditawarkan nanti, akan dapat merealisasikan kembali impian bakal Jemaah ke Tanah Suci,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Razali berkata, berdasarkan data yang diperolehi pihak persatuan, ahlinya terpaksa mengalami kerugian lebih RM300,000 susulan tindakan kerajaan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran visa (umrah dan pelancongan) kepada rakyat Malaysia.

“Kerugian ini disebabkan bayaran yang dibuat untuk hotel penginapan, tiket penerbangan dan bayaran kepada pengendali di Arab Saudi, yang tidak dikembalikan pihak terbabit.

“Bagaimanapun, PAPUH berpandangan penggantungan ini adalah langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi bagi membendung penularan wabak Covid-19 menjelang musim Haji akan datang.

“Wabak Covid-19 memberikan impak signifikan ke atas industri pelancongan Malaysia memandangkan industri ini merupakan penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15.3% dan penerima pertukaran asing kedua terbesar selepas Petronas,” katanya.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here