Apabila jari tidak duduk diam

0
381
FOTO: Wikimedia Commons/D. Sharon Pruitt from Hill Air Force Base, Utah, USA / CC BY (https://creativecommons.org/licenses/by/2.0)

SEMALAM, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya mengakui bukan mudah untuk kita duduk diam-diam di rumah bagi satu tempoh masa yang agak lama. Banyak cabaran yang dihadapi pada waktu ini apabila secara tiba-tiba gaya hidup berubah dalam sekelip mata.

Tetapi Perdana Menteri dalam pemerhatiannya mendapati ramai yang kreatif.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kreatif bermaksud mempunyai kebolehan men­cipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Maka, seperti kata Perdana Menteri, macam-macam kreatif dapat dilihat di facebook.

Dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perdana Menteri tahu ada yang bersenam di rumah, menggunakan skype untuk berhubung dengan rakan-rakan, ibu-ibu mencuba pelbagai resipi masakan dan para bapa bersolat jemaah dengan keluarga. Ringkasnya, semua berupaya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.

Cuma satu bidang ‘kreatif’ yang tidak disentuh oleh Perdana Menteri ketika rakyat diminta duduk diam di rumah. Mereka ini memang kreatif mencipta sesuatu yang baharu tetapi palsu. Jari jemari mereka tidak boleh duduk diam untuk mencipta dan menyebar sesuatu yang palsu. Inilah kreatif yang tidak kena tempat dan keadaan.

Sesetengahnya apa yang mereka cipta itu mampu menarik perhatian ramai dan meyakinkan. Memang rakyat memerlukan maklumat lebih-lebih lagi dalam situasi hari ini. Malangnya maklumat itu palsu.

Ada juga yang memberi pelbagai petua untuk menghadapi situasi melawan Covid-19 ini. Memang bagus jika ada logiknya tetapi jangan sampai orang terlalu yakin. Bukankah Covid-19 sesuatu yang baharu? Adakah segala petua yang kita pernah amalkan sebelum ini untuk ‘mengubati’ penyakit benar-benar boleh mencegah atau mengubatinya Covid-19?

Tidak salah untuk mencuba dan berikhtiar tetapi ingatkan juga orang yang membacanya supaya tidak terlalu yakin. Kita bimbang sesuatu yang bertujuan baik itu akhirnya disalah tafsir atau memudaratkan. Dan kemudiannya dilabelkan PALSU.

Justeru ketika kita diminta duduk diam di rumah untuk melawan wabak Covid-19 ini, jangan pula kita menghabiskan masa dengan mencipta berita yang tidak benar sehingga menimbulkan rasa panik dan cemas dalam kalangan masyarakat.

Manfaatkan kreativiti bagi mengajak rakyat melakukan sesuatu yang baik untuk menyokong usaha kerajaan memerangi wabak ini. Tidak salah kreatif mencipta sesuatu yang dapat menambah maklumat serta panduan bagi memudahkan sesuatu amalan. Ada juga yang menghiburkan, contohnya berkaitan tiga slogan Perdana Menteri kita “Wawasan 2020 1Malaysia Duduk di Rumah”.

Gunakan kepandaian grafik, melukis, menulis, merakam peristiwa apa saja untuk manfaat bersama bukan sesuatu yang boleh memfitnah, mempersenda atau menghina pihak berkuasa atau sesiapa sahaja.

Kadang-kadang ada yang terlalu kreatif dengan memalsukan berita, kenyataan atau pengumuman akhbar menggunakan kepala surat pihak berkuasa. Tindakan ini boleh menyebabkan rakyat panik lebih-lebih lagi sesuatu ‘pengumuman’ yang tidak menyeronokkan.

Tidak mustahil hasil kreativiti golongan ini, akan ada berita yang benar akan tertera perkataan PALSU seperti yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa ketika menjelaskan mengenai berita palsu. Begitulah tahap kreatif orang kita.

Entah kenapa mereka terlalu seronok melihat rakyat cemas atau dikelirukan apabila berita palsu disebarkan.

Justeru jangan terlalu kreatif sehingga memudaratkan diri, keluarga dan rakyat seluruhnya. Ketika pelbagai pihak berusaha memerangi wabak Covid-19 ini, jangan dibebankan tugas pihak berkuasa untuk memerangi ‘virus’ berita palsu dan seangkatan dengannya.

Diamkan jari kita untuk mencipta sesuatu yang palsu, meragukan atau tidak berfaedah kemudian menyebarkannya. Lebih elok ketika kita diminta duduk diam-diam di rumah, jari jari kita dimanfaatkan untuk perkara yang berfaedah seperti menyelak helaian al-Quran, buku atau berzikir.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here