Umat Islam dianjur adakan solat hajat serentak selepas solat zohor esok

0
394
FOTO: Aziz A. Shariff

PUTRAJAYA  — Umat Islam di Malaysia dianjurkan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara esok selepas solat Zohor di rumah masing-masing untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini telah menitahkan kepada beliau agar memberikan cadangan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara.

“Berdasarkan taakulan saya, dengan ilham daripadanya, tarikh dan waktu yang sesuai bagi cadangan pelaksanaan solat hajat serentak di seluruh negara adalah pada hari Jumaat, 27 Mac bersamaan 3 Syaaban 1441H selepas solat Zohor di rumah dan tempat masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli menyeru umat Islam untuk memenuhi hari Jumaat dengan zikrullah, taubat dan munajat kepadanya.

“Kepada Allah jua kita berserah,” katanya.

Malaysia kini sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April sebagai usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here