23 orang maut, kes jangkitan Covid-19 lepasi 2,000

0
373
FOTO: NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KES maut berkaitan Covid-19 kini mencecah 23 orang, selepas 3 mangsa disahkan meninggal dunia hari ini, ketika keseluruhan kes jangkitan Covid-19 melepasi 2,000 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan sebanyak 235 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini, berbanding 172 kes semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini 2,031 kes.

“Sehingga kini seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah itu 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Keseluruhan jumlah kematian sehingga kini 23 orang, susulan kematian 3 warga tempatan.

Kematian mangsa pertama, seorang warga emas berusia 63 tahun yang merupakan peserta perhimpunan di Masjid Sri Petaling, dilaporkan pagi tadi.

Mangsa ke-2, kes ke-22 yang dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Johor, rakyat tempatan berusia 48 tahun dengan latar belakang penyakit kronik, menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dan mempunyai kontrak rapat dengan seorang lagi kes positif Covid-19 yang menghadiri perhimpunan sama.

Beliau meninggal dunia pada 23 Mac malam.

Mangsa ke-3, kes ke-23 yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, rakyat tempatan berusia 62 tahun dengan latar belakang penyakit kronik, meninggal dunia pada 24 Mac tengah hari.

Kes tersebut masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster Covid-19.

Berdasarkan siasatan awal, daripada 235 kes baru yang dilaporkan hari ini, sebanyak 60 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan di Masjid Sri Petaling manakala baki 175 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster.

Hisham turut memaklumkan, setakat jam 12 tengah hari tadi, terdapat 80 anggota kesihatan kementerian dikesan positif penyakit Covid-19.

“Setakat ini, tiada kes jangkitan anggota kesihatan kementerian yang disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti kesihatan kementerian.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 39 anggota dari kejadian kluster di Hospital Teluk Intan, Perak. Mengambil kira situasi semasa, kementerian menetapkan agar semua anggota kesihatan dan anggota sokongan Hospital Teluk Intan untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di hospital tersebut,” katanya.

Hisham turut memaklumkan terdapat 16 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan kes pulih 215 orang.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/03/26/235-kes-baru-covid-19-16-pulih/
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here