Covid-19: Utamakan sektor pertanian, galak penduduk berkebun, menternak

Betapa menyesalnya mereka yang balik kampung (pada peringkat awal tidak mempedulikan larangan awal kerajaan) itu kini tidak tenteram asyik memikirkan keselamatan harta benda dalam rumah di bandar tidak dapat diselia.

0
433

WABAK penyakit global Covid-19 yang melanda sejak November 2019 dikesan berpunca dari Wuhan, China belum berkesudahan dan kian serius tatkala menjangkau Mac 2020 bukan sahaja mengancam kesihatan, malah meragut nyawa ribuan nyawa manusia di seluruh dunia.

Kesan daripada Covid-19 itu turut mengakibatkan banyak kegiatan ekonomi lumpuh apabila penduduk di setiap negara terbabit berhadapan tindakan pihak berkuasa melarang rakyat keluar rumah terutama ke tempat tumpuan umum bagi mengelakkan penularan virus wabak penyakit tersebut, kecuali bagi tugas penting.

Banyak kedai biasa ditutup sehingga tempoh ditetapkan oleh pihak berkuasa, melainkan kedai menjual barangan keperluan harian hanya dibenarkan beroperasi pada waktu siang. Bagi restoran pula dibenarkan menjalani perniagaan pada tempoh terhad untuk pembelian bungkus makanan dan bawa pulang ke rumah.

Bagi mereka yang pulang ke kampung tidak dibenarkan pulang semula ke rumah di bandar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diawasi oleh pasukan polis dan tentera di seluruh negara. Betapa menyesalnya mereka yang balik kampung (pada peringkat awal tidak mempedulikan larangan awal kerajaan) itu kini tidak tenteram asyik memikirkan keselamatan harta benda dalam rumah di bandar tidak dapat diselia.

Pada mulanya Perintah Kawalan Pergerakan terutama di laluan jalan raya bermula 18 hingga 31 Mac tetapi dilanjutkan sehingga 14 April 2020 apabila pihak berkuasa mendapati serangan Covid-19 kian serius dan perintah tersebut juga bertujuan untuk menyekat rantaian wabak penyakit tersebut.

Serangan Covid-19 juga mengakibatkan aktiviti pertanian di seluruh dunia menjadi perlahan kerana petani khuatir untuk keluar menjalankan aktiviti bermula daripada peringkat penanaman sehinggalah kepada urusan pemasaran perlu ke bandar melewati kawasan penularan wabak virus itu.

Justeru apabila peringkat sektor pertanian dan penternakan sebagai punca utama sumber makanan manusia turut terjejas, maka ancaman wabak Covid-19 itu bukan sahaja malapetaka. Sebaliknya wabak penyakit global itu sebagai peringatan kepada penduduk dunia, termasuk rakyat Malaysia terutama penduduk kampung supaya digalakkan aktif berkebun dan menternak bagi memastikan sumber makanan, sekurang-kurangnya untuk sara diri tidak terputus ketika berhadapan situasi kritikal seperti yang dinyatakan.

Jika penduduk setiap kampung mempunyai kebun sayur-sayuran, pisang, ubi kayu, ubi keledek, sawah padi, padi huma bukit serta ternakan seperti ikan, kerbau, kambing, ayam, itik serta lain-lain, maka hidup mereka tidak susah untuk menampung sumber makanan ketika menghadapi situasi darurat pergolakan perang, wabak penyakit dan bencana alam seperti banjir besar mahupun kemarau panjang.

Justeru genap setahun lalu, pada 27 Mac 2019 penulis ada menghasilkan artikel ke bebasnews.my berjudul ‘Pertanian berkelompok atasi inflasi’ dengan memberi penekanan kepada perlunya diwujdukan inisiatif program Satu Kampung Satu Pertanian Berkelompok (SKSPB) menerusi pengawasan atau khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar serta lain-lain agensi berkaitan.

Sebenarnya program SKSPB tidaklah mendatangkan kos perbelanjaan tinggi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan kerana konsep pelaksanaannya adalah secara kreatif bergotong-royong oleh penduduk kampung di kawasan tanah terbiar yang bebas daripada dakwaan pihak tertentu untuk melakukan kegiatan pertanian jangka panjang.

Menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) boleh dibentuk satu jawatankuasa pelaksanaan program SKSPB yang boleh dilakukan secara gotong-royong bermula dengan kerja membersihkan kawasan dan memagar kebun dengan lebih kukuh bagi mengelakkan serangan musuh tanaman, manakala anggota Rela yang ada di setiap kampung boleh diberi peranan mengawasi keselamatan.

FOTO: Aziz A. Shariff

Aktiviti pertanian berkelompok disertai aktiviti ternakan haiwan halal, selain ikan kolam secara gotong-royong itu sebenar memang menyeronokkan bagi penduduk kampung kerana bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim, menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia desa, malah boleh menjana pendapatan kewangan apabila hasil pertanian itu mampu dijual di pasaran tempatan atau dipunggah ke Pusat Pengumpulan Pertanian supaya dapat diberi bantuan penjualan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), juga menerusi Pasar Tani.

Bagi Jabatan Pertanian dan Jabatan Veterinar serta agensi terbabit selain memberi khidmat nasihat, pihaknya juga boleh memberi bantuan benih tanaman bermutu, baja tanaman dan racun serangga untuk program SKSPB ke arah membuka era baru sektor pertanian negara bagi memastikan rakyat tidak susah untuk mendapatkan bekalan makanan ketika berhadapan darurat sekali gus mengatasi masalah inflasi jualan mahal sayur-sayuran, ikan dan daging di pasaran kerana peniaga ‘cekik darah’ meletak harga tinggi tatkala permintaan mengatasi bekalan.

Kita yakin SKSPB juga berupaya mengurangkan nilai import bahan makanan dan pada tahun 2015 sahaja menyaksikan Malaysia mengimport bahan makanan bernilai RM45.4 bilion daripada negara tradisi pengeksport, sedangkan sebahagian daripada material tersebut boleh ditampung menerusi aktiviti pertanian dan penternakan dalam negara.

Negara kita juga tidak boleh terlalu bergantung kepada bahan makanan import kerana akan berhadapan kemungkinan negara tersebut akan menyekat eskport apabila negara mereka dilanda bencana alam, peperangan dan wabak penyakit yang menghalang aktiviti pengeluar bahan makanan.

Di mana silapnya sektor pertanian negara kita menjadi tidak popular dan gagal produktif, sedangkan Malaysia pada asalnya sebuah negara yang berasaskan kepada pertanian, sebelum sektor perindustrin diberi keutamaan? Kementerian yang kini diberi nama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu kreatif mengaktifkan sektor pertanian kerana petani bukan malas untuk bertani, tetapi mereka kurang diberi galakan dan khidmat nasihat oleh agensi berkenaan sementara menunggu projek mega pertanian kerajaan.

Program SKSPB juga berupaya menjadi alternatif sementara menantikan pelaksanaan projek pertanian besar atas kertas cadangan kerajaan umpamanya dalam Belanjawan 2020 menyediakan peruntukan RM150 juta menerusi galakan program integrasi tanaman cili, nanas, kelapa, tembikai serta buah-buahan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil.

Belanjawan 2020 juga memberi tumpuan kepada sektor penanaman padi menerusi peruntukan bernilai RM855 juta, selain RM796 juta bagi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), di samping subsidi kepada sektor penanaman padi huma atau padi bukit.

Belanjawan itu turut memperuntukkan kos untuk membangunkan baka pertanian berkualiti sebanyak RM43 juta bagi Pembangunan Industri Pertanian 4.0, selain RM30 juta untuk kos projek tanaman padi pulut di Langkawi, Kedah.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here