Bella Astillah buka lembaran baharu

0
471
BELLA Astillah kembali dengan single Tenang, ciptaan Audi Mok.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PELBAGAI dugaan yang dilalui oleh Bella Astillah, 26, selepas bergelar isteri penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016.

Malah selepas bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, nama Bella masih lagi menjadi perhatian setiap kali bekas suaminya itu buat masalah.

Gara-gara cerita kontroversi yang sering dicetuskan oleh Aliff, nama Bella turut terpalit kerana hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak, Mohamad Ayden  Adrean, 3.

Diselubungi cerita sebegitu membuatkan orang lupa siapa Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah yang sebenar.

Penampilan Bella dalam bidang seni sebagai penyanyi kanak-kanak bersama adiknya, Didi sebagai duo, Adik-Adik Mutiara yang pernah merakam lagu Bangau Oh Bangau, Tom Tom Bak dan Air Pasang Dalam hampir dilupai.

Kini Bella mahu ‘melupakan’ peristiwa sedih yang pernah dilalui dengan kembali mengharungi kehidupan ini secara tenang.

MERAKAM lagu Tenang bagi memenuhi kehendak peminat setianya.

Wanita genit yang sentiasa berfikiran positif itu memilih lagu ciptaan Audi Mok sebagai pembuka langkah untuknya kembali mewarnai dunia seni suara.

“Saya percaya setiap individu mengimpikan kehidupan yang baik. Bagi saya apabila kita sentiasa positif, insya-Allah hidup akan rasa mudah dan tenang.

“Dari situ, saya dan komposer mendapat sedikit inspirasi untuk lirik lagu Tenang. Lirik lagu ini tidak sepenuhnya tentang perjalanan hidup saya tapi lebih kepada lagu berkongsi perasaan positif untuk sentiasa bersangka baik dengan ujian dan jangan berputus asa,” jelasnya.

Tambah Bella, biarpun sudah lama tidak memasuki studio rakaman suara, pengalaman merakam lagu Tenang amat menyeronokkan.

BELLA sering bersikap positif dalam mengharungi setiap cabaran kehidupan.

“Proses merakam lagu Tenang amat tenang kerana segala urusan dipermudahkan Allah. Alhamdulillah, dengan bantuan Audi, saya dapat melakukan proses rakaman dengan selesa dan mudah.

“Selaku komposer, Audi tidak menolak pendapat dan idea saya. Kami saling bertukar pandangan dan kerjasama itu memudahkan proses rakaman. Audi sangat kreatif dan memahami cita rasa saya,” kata pelakon Cinta Belum Tamat Tempoh itu.

Tatkala ditanya kenapa baru sekarang beliau terlintas untuk kembali merakam lagu. Kata Bella, beliau mahu memeuhi impiannya dan juga kehendak peminat.

“Saya sering melakukan cover lagu dalam Instagram dan ramai yang mahu dengar lagu saya sendiri. Lagu terakhir yang saya rakamkan adalah Dairi Ramadhan Rafique sewaktu saya berusia 12 tahun.

“Disebabkan itu saya terfikir adalah lebih baik saya ada lagu sendiri sebagai hadiah kepada pendengar setia lagu-lagu cover dendangan saya dalam media sosial,” kata Bella.

Ujarnya, kehadiran beliau bukanlah untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada namun Bella tetap mahukan yang terbaik untuk lagu tersebut.

LAGU Tenang dilancarkan secara rasmi pada 27 Mac 2020.

Tenang telah dilancar secara rasmi di pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music bermula pada pukul 12 tengah hari tadi (27 Mac).

Manakala muzik video Tenang dimuat naik secara rasami dalam YouTube Universal Music Malaysia pada pukul 3 petang.

“Saya percaya pihak Universal Music lebih tahu apa yang terbaik untuk lagu ini. Saya tak berani meletakkan harapan tinggi untuk lagu ini tapi sebagai penyanyi saya telah berikan yang terbaik.

“Jika Allah dah tetapkan ada rezeki saya dengan lagu ini, insya-Allah. Sudah tentu saya berharap lagu ini layak untuk menyertai mana-mana pertandingan,” kata Bella penuh harapan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here