Polis KL tahan 11 individu degil bersenam di Bukit Kiara

    0
    702
    FOTO: Wikimedia Commons/ Ed Yourdon / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0)

    POLIS Kuala Lumpur hari ini menahan 11 inividu yang sedang bersenam di sekitar kawasan Bukit Kiara dan Desa Kiara, Kuala Lumpur.

    Perkembangan itu hadir selepas pengguna media sosial baru-baru ini menularkan mengenai warga di kawasan Bukit Kiara yang dikatakan enggan mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP),

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim, penahanan yang dilakukan pagi ini bermula jam 7.30 hingga 9.30 pagi ketika pihaknya membuat rondaan dan pemeriksaan PKP di sekitar Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara.

    Jelasnya, majoriti yang ditahan adalah daripada bukan warganegara.

    “Pihak polis telah menahan seramai orang lelaki yang terdiri daripada dua orang lelaki warganegara Malaysia, satu orang lelaki warganegara United Kingdom, satu orang lelaki warganegara Amerika Syarikat, empat orang lelaki warganegara Jepun, dua orang lelaki warganegara Korea dan satu orang lelaki warganegara India.

    “Kesemua mereka ditahan semasa sedang joging dan didapati telah mengingkari PKP.

    “Mereka yang ditahan juga tidak mengendahkan amaran dan nasihat yang diberikan oleh pihak polis serta memberikan alasan yang tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mazlan berkata, kesemua individu tersebut telah dirakam percakapan mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan telah diberi jamin polis setelah selesai proses siasatan.

    “Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Beberapa hari lalu, warganet menyuarakan rasa tidak puas hati berikutan kedegilan penduduk di sekitar Bukit Kiara yang didapati tidak mengendahkan arahan PKP, dengan melakukan aktiviti joging.

    Ekoran daripada itu #MontKiara menjadi trending dan rata-rata warganet sebelum ini mempersoalkan mengapa tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap penduduk di kawasan perumahan mewah itu.

    Kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh membawa hukuman denda RM1000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.00 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    “Polis Kuala Lumpur mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan demi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 ini,” kata Mazlan.

    PKP yang bermula pada 18 Mac lalu dan pada mulanya dijadual tamat pada 31 Mac, bagaimanapun dilanjutkan sehingga 14 April.

    https://www.malaysiakini.com/news/517252
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here