‘Cik Kiah’ jadikan rakyat Malaysia produktif 

0
514

Oleh DR. SUHAIMEE SAAHAR

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan beberapa bentuk bantuan kepada rakyat. Bantuan ini diberikan untuk mengurangkan beban sejumlah besar isi rumah yang berdepan dengan masalah kewangan akibat wabak Covid 19 yang menyerang negara.

Penjelasan PM amat mudah, beliau mahu merangsang ekonomi domestik untuk rakyat berbelanja secara berhemah dan rasional serta menyediakan simpanan untuk tempoh masa singkat ini. Amat penting bagi kita memikirkan bagaimana mengurus kewangan dalam waktu kritikal dan memikirkan apakah bentuk perniagaan digital yang boleh dilakukan ketika ini.

Mengambil kisah Mak Cik Kiah, jika Mak Cik Kiah adalah seorang tukang jahit. Bagaimana dia akan menggunakan bantuan kewangan yang dia perolehi untuk mencipta pasaran baru domestik dan serantau serta menggunakan bantuan itu untuk meminimakan kerugian  perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehinggan 14 April 2020.

Selepas 14 April 2020 Mak Cik Kiah perlu memikirkan bagaimana dia perlu survive dalam perniagaan beliau melalui kaedah perniagaan digital dan segmentasi baru yang Mak Cik Kiah terokai. Mak Cik Kiah adalah sebahagian daripada isi rumah yang berdepan dengan masalah ini. Beliau perlu cekap menguruskan kewangan isi rumah beliau walaupun anak-anak beliau juga mendapat bantuan melalui skim Prihatin yang diumumkan oleh PM.

Seterusnya Mak Cik Kiah perlu menerokai Industri 4.0 agar dia dapat meluaskan perniagaan beliau melalui pengetahuan perniagaan digital yang beliau pelajari melalui platform digital yang memfokuskan pemasaran dan perniagaan digital. Di Korea Selatan wanita seperti Mak Cik Kiah mempelajari perniagaan digital ketika usia ini bagi memastikan kewangan mereka stabil dan simpanan mereka terjamin. Produktiviti usia seiring dengan kemampuan tenaga dan juga usaha yang dilakukan oleh golongan ini bagi memastikan ada makanan dihidangkan untuk keluarga di waktu malam. Namun hari ini amat berbeza, ketua keluarga perlu memastikan makanan terhidang pagi, tengahari, petang dan malam. Ini menambahkan lagi kos perbelanjaan dan sumber pendapatan semakin kurang. Ini tujuan Prihatin untuk mengurangkan beban ketua keluarga dan memastikan keluarga mendapat jagaan yang baik dan terjamin.

Kerajaan cuba menerangkan dengan kaedah yang jelas dan mudah agar seluruh masyarakat memahami istilah dan konsep ekonomi ketika berdepan dengan krisis. Istilah seperti defisit, penguncupan ekonomi, perubahan dalam fiskal dan pertumbuhan KDNK diterjemahkan dalam penceritaan yang mudah difahami oleh semua. Tidak perlu Mak Cik Kiah merujuk kepada pakar ekonomi kerana dia sendiri adalah pengurus kewangan yang cekap untuk isi rumahnya. Cik Kiah kini mahir untuk konsilidasikan ekonominya dengan menyatukan perbelanjaan dan pendapatan dan menilai semula dengan hutang dan liability yang dia ada. Konsolidasi ekonomi merupakan formula untuk Mak Cik Kiah untuk membantu beliau dan keluarga beliau.

Dalam waktu kritikal ini, kita akan menguji bagaimana Mak Cik Kiah dan anak-anaknya mengurus pemberian tunai yang diberikan oleh Perdana Menteri. Manfaat sebanyak RM 8,664 anggaran sekeluarga yang diperolehi perlu diurus dengan cekap dan cermat. Ini menguji bagaimana pengurusan kewangan keluarga amatlah penting bagi menghadapi krisis ini sekiranya ia berlanjutan. Persoalannya, adakah bantuan ini perlu disimpan dan dilaburkan dalam beberapa skim yang akan ditawarkan kepada golongan ini? Sudah pasti beberapa pelaburan scam akan muncul untuk membujuk Mak Cik Kiah dan anak-anaknya untuk menggunakan bantuan yang disalurkan kelak. Jika ini berlaku objektif utama kerajaan untuk menjamin perbelanjaan isi rumah dan simpanan jangka pendek akan ternyata gagal.

Harapan kerajaan terhadap skim Prihatin ini untuk melihat bukan sahaja senyuman di wajah rakyat Malaysia tetapi menjadikan Mak Cik Kiah sebagai role model kepada masyarakat bagaimana menguruskan kewangan dan perbelanjaan ketika krisis. Kisah beliau akan dikongsi untuk mewujudkan semangat bersama bagi menghadapi musuh yang kita tidak nampak. Ayuhlah kita untuk bersama demi negara kita yang tercinta dengan melaungkan semangat Malaysia Bersama – Kita jaga kita – untuk terus patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi kita melawan virus Covid 19 ini. Jadikan usaha PM sebagai usaha kita bersama dengan memutuskan rantaian Covid 19 dengan bantuan yang diberikan dan jangan kita jadikan bantuan ini sebagai pencetus gelombang baru. Hargai setiap nilai dan bantuan yang ada. Beli yang perlu simpan yang pasti. Kita Kekal Bersama.

Penulis adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here