Atlet layak kekal ke Olimpik 2021

0
196
FOTO: NSTP/AIZUDDIN SAAD

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

SEMUA atlet termasuk dari Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan jadual asalnya, sebelum diumum tunda pada Selasa lalu, tetap dijamin tempat mereka apabila temasya ke-32 itu diadakan tahun depan.

Jaminan itu diberikan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam satu sidang telefon dengan beberapa jawatankuasa Olimpik kebangsaan (NOC) termasuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) petang semalam (waktu Malaysia).

“Sesi ini dipengerusikan oleh Presiden IOC, Thomas Bach dan dikendalikan Pengarah Persaudaraan Olimpik dan Perhubungan NOC, James Macleod,” kata Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam siaran media semalam.

Atlet Malaysia berkenaan ialah Khairul Anuar Mohamad (memanah), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong Pamg, Leong Mun Yee (akuatik terjun), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Khairulnizam Mohd. Affendy dan Nur Shazrin Mohd. Latif (pelayaran).

IOC katanya, telah mengambil maklum bahawa dianggarkan lebih 57 peratus daripada dianggarkan 11,000 atlet yang akan bertanding di Tokyo, sudah pun layak berdasarkan perbincangan dengan persekutuan sukan antarabangsa (IF) semalam.

FOTO: THOMAS Bach, Presiden IOC/ Wikimedi Commons/Doha Stadium Plus Qatar from Doha, Qatar / CC BY (https://creativecommons.org/licenses/by/2.0)

“IOC menerusi sidang telefon itu mengumumkan penubuhan Pasukan Bertindak ‘Here We Go’ (Di Sini Kami Tuju) yang mengandungi ahli-ahli daripada IOC, Jawatankuasa Pengelola Tokyo 2020 dan lain-lain pemegang taruh.

“Misi pasukan ini ialah mengkaji perkara-perkara yang berkaitan penetapan tarikh baharu Olimpik Tokyo selain menyemak isu operasi, gelanggang dan penginapan,” katanya.
Namun kata Norza, sesi telefon IOC itu mendapati kebanyakan NOC memilih musim panas 2021 sebagai tarikh baharu Olimpik Tokyo berbanding musim bunga supaya memberikan tempoh kelayakan lebih panjang dan lebih masa bagi persediaan atlet.

Bagi baki tempat kelayakan itu katanya, “IOC dan IF hanya boleh berbalik kepada satu prosedur kelayakan yang lebih kukuh sebaik sahaja tarikh baharu Olimpik Tokyo diputuskan.

“IOC dan IF akan membuat keputusan berdasarkan prinsip keadilan. Had umur yang berkaitan sukan tertentu seperti bola sepak turut akan diputuskan tidak lama lagi,” katanya.

Selain itu ujarnya, pemberian Biasiswa Persaudaraan Olimpik IOC kepada atlet-atlet yang dijadualkan berakhir pada Julai ini, akan diteruskan sehingga Olimpik yang ditunda ke tidak lewat musim panas 2021.

“Malaysia kini mempunyai 14 atlet penerima biasiswa berkenaan,” katanya yang menegaskan, MOM turut akan terus bekerjasama rapat dengan IOC, Kementerian Belia dan Sukan dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan bagi melindungi kepentingan atlet-atlet kita.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here