Kilang bahan binaan dikompaun, punca insiden pencemaran sisa minyak di Sungai Selangor

0
500

SHAH ALAM — Sebuah kilang bahan binaan di Bestari Jaya, dekat sini dikompaun Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas dikenal pasti menjadi punca insiden pencemaran sisa minyak di Sungai Selangor hari ini.

Pencemaran sisa minyak itu menyebabkan tiga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor iaitu LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) dihenti tugas pada pukul 9.40 pagi tadi namun beroperasi semula kira-kira dua jam kemudian.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan memberitahu bahawa siasatan menyeluruh mendapati kilang berkenaan gagal melaksanakan penstoran sisa minyak dengan baik apabila lapan tong yang menyimpan bahan itu masing-masing berkapasiti 205 liter ditemui di luar stor.

“Dua daripada lapan tong berkenaan pula dibiar terdedah tanpa penutup malah terdapat kesan kebocoran menyebabkan sisa minyak di dalamnya mengalir ke takungan longkang seterusnya ke alur sungai berhampiran.

Sisa minyak berkenaan kemudiannya mengalir ke Sungai Selangor yang terletak pada jarak kira-kira satu kilometer daripada lokasi pencemaran,” kata kenyataan itu, malam ini.

Menurut kenyataan itu, pihaknya memasang “oil boom” di kawasan alur terlibat untuk mengelakkan baki aliran minyak terus mengalir ke dalam Sungai Selangor selain meletakkan arang yang diaktifkan berhampiran kilang terbabit untuk mengawal pencemaran.

LUAS menyatakan, surat arahan untuk pembersihan segera dikeluarkan ke atas pemilik kilang berkenaan mengikut Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 manakala kompaun oleh JAS pula melibatkan kesalahan pengurusan Buangan Terjadual tertakluk kepada Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“MDKS mengeluarkan kompaun dan notis kesalahan kepada kilang berkenaan selain memasang ‘condone tape’ di sekitar kawasan premis,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, LUAS menyatakan pihaknya menjalankan pemantauan 24 jam bermula esok ke atas lembangan sungai utama di Selangor susulan insiden pencemaran yang berlaku iaitu pada 17 Mac lepas dan hari ini bagi mengelakkan gangguan bekalan air sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

LUAS dan kerajaan negeri menyeru kepada orang ramai supaya prihatin dengan kawasan sensitif sumber air terutamanya sungai serta melaporkan jika mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyebabkan berlakunya pencemaran.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here