Dua kali Baby Shima nyaris maut

0
420

Oleh NAFSIAH JANI

TUHAN masih sayangkan Baby Shima. Itulah yang boleh dikatakan mengenai nasib Baby Shima penyanyi kelahiran Johor yang kini sedang mencipta nama di Indonesia. Mana tidaknya dua kali Baby Shima terselamat daripada menjadi mangsa tsunami dan gempa bumi yang melanda Indonesia pada tahun 2018.

Namun ramai yang tidak mengetahuinya  kerana tiada wartawan yang pernah bertanya peristiwa tersebut  kepada Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashimah Ramli, 26,mengenai kejadian tersebut.Kedua-dua kejadian berlaku selang tiga bulan antara satu sama lain pada September 2018 di Palu dan Tanjung Lesung, Banten Disember 2018.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu yang saya nyaris maut kerana saya sepatutnya ada show di kedua-dua tempat. Tapi tak tahu mengapa disaat-saat akhir ada saja yang berlaku.  Mungkin Allah masih sayangkan saya. Masa tsunami dan gempa bumi di Palu tu saya dah bersedia dengan Pasha Ungu di lapangan terbang kerana show kami bersama Trans TV . Tiba-tiba kami dikejutkan berlakunya tsunami disana.

“Memang saya bersyukur sebab terselamat tapi saya sedih kehilangan peminat seorang pensyarah, Pak Dastarsarro kerana tsunami tersebut. Selain buat show, saya ingat nak buat kejutan berjumpa dengannya disana. Kami rapat kerana peminat ini sanggup turun ke Jakarta semata-mata untuk berjumpa saya.

“Kali kedua sepatutnya saya juga berada di kawasan tsunami yang mengorbankan Dylan Sahara isteri kepada Ifan Seventeen. Saya dijadualkan buat persembahan di sebuah resort di Serang, Indonesia. Tiba-tiba tiga hari sebelum kejadian tersebut persembahan saya dibatalkan. Mula tu memang sedih tapi bila fikirkan peluang  yang Allah bagi pada saya, saya bersyukur banyak-banyak. Khabarnya kawasan tersebut  teruk dibadai tsunami hingga mengorbankan banyak nyawa,’’ kata Baby Shima ditemui ketika terlibat dalam program Jelajah Agroprenuer Muda (JAM) di Perlis baru-baru ini.

Baby Shima mula mencipta nama di Indonesia selepas pihak Nagaswara Music mengambilnya menjadi artis naungan mereka pada tahun 2017. Baby Shima mula mencipta nama selepas popular menyanyikan lagu cover version di Smule dan Youtube. Popularitinya semakin memuncak selepas berduet dengan Khai Bahar menyanyikan lagu Nike Ardila bertajuk Ku Tak Akan Bersuara dan Smule lagu Ayu Ting Ting , Sambal Lado bersama Ayu Ting Ting sendiri.

“Di Malaysia tak  ada syarikat rakaman yang hendakkan saya dan tak sangka kini dah tiga tahun  bersama syarikat rakaman Nagaswara Music. Kontrak kami baru saja tamat baru-baru ini dan saya ditawarkan kontrak selama 10 tahun lagi. Tapi saya minta untuk kontrak selama lima tahun dahulu. Kalau okey semuanya, tak ada masalah untuk kami menyambung  lagi kontrak.

“Yang pasti saya suka bersama syarikat rakaman disana kerana saya rasa betul-betul menjadi artis yang dilayan bagaikan seorang puteri. Ketika show kami hanya datang sehelai sepinggang kerana setiap artis ada pemandu yang menjemput bersama seorang mekap artis dan seorang jurudandan . Malah pakaian show juga telah disediakan dan jika baju terlalu kecil atau besar, secara spontan ada tukang jahit yang akan membantu menguruskannnya,’’ ujar Baby Shima  yang pernah bergelar juara Mangga Star Search 2010.

Baby Shima pernah tampil dengan single iaitu makan Hati, Main Mata dan Main Koplo (main gendang), Sirna, Kangen Rasul dan Terpisah jarak dan Waktu (lagu duet bersama Sule pelawak Indonesia).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here