Bank Rakyat umum dividen 14 peratus

0
414
FOTO: NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

BANK Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 14 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, berbanding 13 peratus pada tahun sebelumnya.

Jumlah dividen itu membabitkan pembayaran sebanyak RM382 juta kepada 840,590 anggota individu dan 2,257 anggota koperasi berjumlah RM24 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata meskipun trend pembayaran dalam industri secara keseluruhannya adalah rendah, Bank Rakyat masih mengekalkan pembayaran dividen pada kadar yang kompetitif serta peningkatan sebanyak satu peratus berbanding 2018.

Katanya, Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap keperluan anggotanya yang mana 30 peratus penerima individu terdiri daripada golongan B40, manakala 20 peratus penerima anggota koperasi terdiri daripada golongan B40.

“Justeru, saya berharap agar pembayaran dividen ini dapat membantu meringankan beban kewangan kepada anggaran 5.1 juta rakyat Malaysia (berdasarkan empat orang seisi keluarga) pada saat negara dilanda penularan pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan pendapatan serta ekonomi negara,” katanya mengumumkan dividen Bank Rakyat di sini, hari ini.

Pembayaran dividen akan dibuat esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed, berkata keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir Disember 2019 adalah RM1.79 bilion manakala keuntungan bersih RM1.15 bilion.

Katanya, meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, prestasi yang baik ini dapat dicapai melalui pendapatan bersih yang lebih tinggi tahun ke tahun sebanyak 3.26 peratus.

“Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan pendapatan operasi teras dan kos dana tahun ke tahun yang lebih rendah sebanyak 1.62 peratus, hasil daripada penurunan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2019 serta inisiatif berterusan untuk meningkatkan baki Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA).

“Selain itu, prestasi yang mampan ini juga dapat dicapai menerusi asas yang kukuh dan fokus dalam aktiviti teras kumpulan.

“Secara keseluruhannya, Bank Rakyat berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Bank Koperasi yang paling tinggi keuntungannya dan sebagai institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia dari segi saiz aset,” katanya.

Jumlah aset Bank Rakyat meningkat 2.6 peratus atau RM2.73 bilion kepada RM109.62 bilion, berbanding RM106.89 bilion sebelum ini.

Peningkatan tahun ke tahun ini didorong oleh pertumbuhan pembiayaan dan pendahuluan sebanyak 2.8 peratus atau RM1.96 bilion kepada RM70.97 bilion.

Pulangan Atas Aset (ROA) pada tahun ini kekal sihat, pada 1.7 peratus dan melebihi ROA industri perbankan domestik iaitu pada 1.6 peratus.

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here