P Pinang lantik wakil rakyat pembangkang dalam j/kuasa Covid-19

    0
    269

    KERAJAAN negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan (PH) melantik pemimpin pembangkang Muhamad Yusoff Mohd Noor, yang juga Adun Umno Sungai Dua, bagi menganggotai jawatankuasa keselamatan negeri dalam menyelaraskan usaha menangani Covid-19.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata beliau sudah menghubungi Yusoff berhubung perkara itu.

    “Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelarasan pelbagai agensi negeri dan Persekutuan berhubung pengurusan isu Covid-19.

    “Malah, saya juga menjemput beliau untuk hadir di mesyuarat seterusnya iaitu pada Isnin, 30 Mac 2020 jam 9.30 pagi di Komtar.

    Chow juga mengumumkan peruntukan RM30,000 untuk setiap kawasan, termasuk kawasan pembangkang, untuk menangani krisis Covid-19.

    “Sebagaimana saya tekankan sejak awal krisis ini bahawa kini bukan masa untuk berpolitik. Kita perlu menggembleng tenaga agar usaha membantu rakyat boleh dilaksanakan dengan pantas dan lancar.

    “Dalam aspek ini, kerajaan negeri memberikan peruntukan khas dana bantuan rakyat RM30,000 secara saksama kepada semua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang tanpa mengira parti politik mereka,” katanya.

    Chow berkata beliau berharap program rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan semalam, bersama dengan Pakej Bantuan Pulau Pinang sendiri, dapat membantu rakyat semasa kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik itu.

    “Fokus kita sekarang ialah untuk memastikan segala bantuan dan insentif kewangan sampai dengan pantas serta jitu kepada kumpulan sasar.

    “Bagi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang, saya berjanji wang bantuan akan mula diagihkan bermula bulan April 2020, iaitu dalam tempoh empat hari lagi,” katanya.

    Perintah kawalan pergerakan telah dikuatkuasakan mulai 18 Mac untuk mengekang penyebaran Covid-19.

    Di bawah PKP, perniagaan dan perkhidmatan yang tidak penting diperintah tutup dan orang ramai tidak digalakkan meninggalkan rumah tanpa alasan munasabah.

    PKP pada mulanya ditetapkan untuk berakhir pada 31 Mac, namun dilanjutkan hingga 14 April.

    https://www.malaysiakini.com/news/517341
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here