Darling teruskan legasi Ngasri Sain

0
2291
DARLING bersama ayahnya, Ngasri Sain.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PADA penghujung tahun 1980-an nama anak-anak pasangan Habibah Jaafar dan Ngasri Sain memang tidak asing lagi bagi para peminat drama tempatan dan iklan.

Bermula sebagai pelakon iklan pada tahun 1988 dan kemudian drama, nama Darling, Anne dan Bell memang tidak asing lagi bagi penerbit drama di RTM dan TV3.

Memulakan kerjaya seawal usia empat tahun, tiga beradik ini berjaya menambat hati penerbit iklan kerana wajah mereka yang comel dan bakat semulajadi dalam bidang lakonan.

Betapa tidak mereka dikatakan mewarisi bakat ayah mereka, Ngasri Sain yang dikenali antara juruhebah popular dari RTM yang memilikki suara emas dan banyak menjadi suara latar iklan di radio dan stesen TV.

Bell atau Nasrizal, 40, Darling atau Nasreen,37, dan Naszriah yang dikenali Anne,36, telah berlakon lebih dari 200 drama sepanjang penglibatan mereka sebagai pelakon.

BELL, Anne dan Darling bersama ibu mereka, Habibah Jaafar yang menjaga jadual penggambaran dan persekolahan mereka.

Bagaimanapun setelah berkahwin masing-masing membawa haluan sendiri.

Bell sejak menyertai Maharaja Lawak Mega kini lebih banyak mendapat tawaran sebagai pengacara dan berlakon drama komedi.

Sementara Anne yang masih menetap di Kuala Lumpur kini lebih menumpukan perhatian kepada keluarga dan rumahtangga.

Hanya Darling yang masih setia menggengam impiannya untuk menjadi seorang penerbit drama yang berjaya.

Sejak tahun 2010, bersama syarikat penerbitannya, NS Star Sdn. Bhd., Darling terus menerbitkan drama yang mana kebanyakannya disiarkan di RTM.

“Sebagai penerbit saya cuba menghasilkan drama yang berkualiti dengan pemandangan luar dari Malaysia.

“Matlamat saya agar ini dapat memberi peluang kepada NS Star menembusi stesyen TV selain RTM,” kata Darling dengan penuh harapan.

Bagi para peminat drama semestinya sedar hanya beberapa syarikat penerbitan yang sering menerima peluang untuk menerbitkan beratus atau berpuluh episod drama di sebuah stesen TV berbayar.

Malah bukan itu sahaja, kadangkala syarikat-syarikat berkenaan juga diberi peluang oleh stesen TV lain.

Menyentuh tentang soal berkenaan Darling sebagai penerbit hanya mampu berkata;

“Sudah bertahun saya menghantar proposal dan mencuba sebaik mungkin tetapi belum ada rezeki.”

Biarpun begitu, Darling tidak mahu mengaku kalah malah terus mengekalkan imejnya sebagai sebuah syarikat penerbitan yang sering menjalani penggambaran di luar negara demi untuk kelainan.

Antara drama NS Star yang menjalani penggambaran di luar negara Sesegar Nailofar (Mesir), dan tiga drama menjalani penggambaran di China iaitu Cinta Shanxi, Mencari Mubarakh dan Airmata Xinjiang.

Selain menerbitkan drama berkisarkan soal cinta dan masyarakat, Darling cuba menampilkan suatu kelainan dengan memaparkan tugas dan kehidupan ahli bomba yang diberi nama Hero.

DARI kiri: Darling, Anne & Bell.

“Alhamdulillah kami mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Bomba dan setelah musim pertama ditayangkan pada 2017, kini Hero musim kedua akan ditayangkan tidak lama lagi,” katanya.

Hero musim kedua sebanyak 26 episod akan ditayangkan di RTM 2 mulai 7 April. Drama ini dilakonkan oleh Redza Rosli, Sarah Hildebrand, Aidil Aziz, Oktovia Manrose dan Riz Amin.

Menurut Darling, walaupun ada yang beranggapan menjadi penerbit drama ini glamor tetapi banyak cabarannya.

Bukan sahaja terpaksa berdepan bayaran diterima lambat kadangkala masalah shooting membuatkan drama tidak boleh ditayangkan.

Mencari Kiblat Cinta sebanyak 26 episod yang sepatutnya ditayangkan pada Ogos ini mungkin terpaksa ditunda.

Drama tersebut yang telah menjalani penggambaran selama dua bulan terpaksa dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

Drama lakonan Syazuwan Hassan, Husna Mustaffa, Shah Hazvee, Edika Yusoff memerlukan lapan hari untuk menyiapkan 100 babak lagi.

Menurut Darling, walaupun terpaksa berdepan dengan situasi itu beliau bersyukur ketegasan Ibunya mendidik mereka menjadikannya kuat bila berdepan apa juga masalah.

Darling pemegang Diploma dalam bidang perniagaan memberitahu, walaupun ketika kecil mereka tiga beradik sibuk shooting dan dalam setahun hanya 100 hari menghadiri kelas tetapi mereka kena pastikan dalam peperiksaan penggal mereka hanya menduduki tempat pertama hingga ketiga.

“Kalau kami dapat nombor empat dalam kelas, Mama akan menjerit. Alhamdulillah keputusan SPM kami pun cemerlang.

“Walaupun jarang masuk kelas tetapi apabila belajar kami fokus sebab bagi Mama, pelajaran itu penting,”kata Darling.

Disebabkan itu, beliau kecewa ada ibubapa mengabaikan pelajaraan anak-anak kerana mahu mereka menjadi pelakon.

“Saya tidak percaya konsep home school. Belajar di sekolah bersama kawan-kawan adalah lebih baik. Sebab itu, kadangkala kami bawa homework di set penggambaran,” kata Darling.

Menurut Darling, walaupun kini PKP tetapi di rumah beliau merakamkan sendiri suara latar untuk agensi dan klien produk.

“Saya mahu meneruskan legasi Babah (Ngasri Sain) yang mana suaranya masih digunakan untuk iklan di radio dan stesen TV,” kata Darling.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here