COVID-19: Penuntut Malaysia pilih kekal di New Zealand

0
265

PERTUBUHAN Pelajar Malaysia Wellington (WMSO) berkata penuntut di New Zealand lebih memilih untuk terus berada di negara ini, walaupun perintah “lockdown” dikuatkuasakan selama sebulan bermula Khamis (26 Mac).

“Buat masa sekarang, kami rasa tidak perlu (urusan membawa pelajar Malaysia balik ke Malaysia) kerana kes COVID-19 di New Zealand tidak  kritikal.

“Kami tidak akan menggunakan perkataan ‘terkandas’ kerana pelajar di Wellington … tidak merasa gusar untuk balik,” kata Zarif Rizlan Mohd Nazri, penuntut di Universiti Victoria Wellington.

Menerusi Whatsapp kepada Bernama, pelajar berusia 21 tahun itu berkata buat masa ini terdapat 120 pelajar Malaysia yang mengikuti pelbagai pengajian di universiti di Wellington.

Beliau berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington mewajibkan wakil pelajar dari setiap universiti untuk mengemas kini maklumat ahli mereka setiap dua hari.

Terdahulu, Bernama melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Ashley Bloomfield pada Ahad (29 Mac) berkata New Zealand mencatatkan kematian pertamanya, dan bilangan orang yang dijangkiti virus itu meningkat sebanyak 63 kes kepada 514.

Bloomfield berkata kematian itu membabitkan wanita berusia 70-an yang pada awalnya didiagnosis dengan influenza.

Sementara itu, Persatuan Pelajar Malaysia Canterbury (CMSA) berkata pihak persatuan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk memastikan semua pelajar berdaftar dengan kedutaan, supaya bantuan boleh diberikan andai berlaku kejadian tidak dijangka.

Pelajar Malaysia juga dinasihatkan tidak keluar dari kawasan kediaman.

Penuntut yang menghadapi kesulitan semasa tempoh lockdown boleh menghubungi laman Facebook CMSA dan pihak kami akan cuba membantu sebaik mungkin.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here