PKP: Solat jenazah bukan sebab COVID-19 hanya di rumah, premis persendirian

0
381

SOLAT jenazah bagi kematian yang bukan disebabkan oleh COVID-19 hanya boleh dilakukan di rumah atau premis persendirian dengan kehadiran jemaah terdiri daripada pegawai masjid serta ahli keluarga terdekat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Mohd Yusof Yahya berkata urusan pengebumian juga hendaklah melibatkan sebilangan kecil anggota keluarga terdekat sahaja dan tiada tahlil serta kenduri arwah diadakan sepanjang PKP yang kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Beliau berkata apabila berlaku kematian di hospital, jenazah hendaklah diuruskan (mandi dan kafan) di premis terbabit, sebaliknya jika ia berlaku di rumah, keluarga perlu mendapatkan nasihat pegawai kesihatan sama ada jenazah diuruskan di hospital atau di rumah.

“Anggota keluarga yang menguruskan jenazah hendaklah menggunakan penutup mulut dan hidung, apron dan sarung tangan selain menggelakkan air mandian terpercik atau terkena pengendali.

“JAIPk memandang serius ancaman COVID-19 dan usaha ini untuk mencegah penularan serta jangkitan dalam skala lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kaum keluarga perlu mengelak daripada menyentuh jenazah sama ada memeluk atau mencium.

Menjelas lanjut, Mohd Yusof berkata jenazah hendaklah diuruskan secepat mungkin tanpa menunggu kepulangan saudara mara yang jauh dan semasa pengebumian, doa yang dibaca hendaklah ringkas.

“Semua pegawai masjid dan ahli kariah diarah mematuhi arahan ini sehingga arahan rasmi terkini dari semasa ke semasa dikeluarkan,” katanya.

BERNAMA
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here