Pakar bimbang cara operasi disinfeksi dilakukan seluruh negara

0
1048
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memberi penerangan kepada petugas Alam Flora pada Ops Nyahcemar di Pasar Besar Jalan Othman, Peraling Jaya. NSTP/ASWADI ALIAS.

Oleh FETTY RARA

ADALAH amat penting bagi semua petugas pembersihan dan operasi nyah kuman di seluruh negara dimaklumkan secara betul, selain dilatih tentang prosedur sanitasi.

Menurut pakar perubatan sekiranya ia tidak dilakukan segala apa yang dilaksanakan hanya akan membazirkan sumber, lapor NST.

Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata beliau amat terkejut apabila melihat satu klip video baru-baru ini tentang operasi nyah kuman  di mana cecair disemburkan ke atas permukaan jalan raya.

“Apa sebenarnya yang mereka lakukan? Siapa yang menasihatkan mereka? Betul-betul membazir wang. Macam mana permukaan jalan raya boleh dicemari oleh virus? Apakah dengan cara orang ramai batuk ke atasnya beramai-ramai?

“Jika sekali pun permukaan jalan raya telah dicemari, bagaimana pula virus tersebut boleh berada di muka? Apakah dengan cara mereka menyapu tangan di permukaan jalan dan kemudian menyentuh muka mereka?

“Apakah asas atau bukti di sebalik tindakan disinfeksi jalan raya itu? Ya, mungkin mereka boleh berkata bahawa mereka sekadar mengikut SOP, tapi siapa yang menyediakan SOP itu dan siapa yang mengesahkannya?

DI Kuching, Sarawak / fotoBERNAMA

“Jika diperhatikan orang ramai yang berkumpul menyaksikan operasi pembersihan itu, publisiti sebegini nyata mendedahkan mereka kepada risiko,” katanya.

Menurut beliau cara yang terbaik untuk ‘nyah kuman’ ialah dengan cara duduk di rumah.

“Amat membazir…wang yang dibelanjakan itu boleh dimanfaatkan bagi tujuan lain, seperti menyediakan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) di hospital,” tambah beliau.

Pagi semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bersama beberapa kakitangan kementerian hadir di Pasar Basah Jalan Othman, Petaling Jaya untuk menjalan operasi disinfeksi awam.

Beliau dikelilingi kakitangan yang lengkap dengan topeng muka dan orang awam yang menyaksikan mereka.

Dalam satu lagi video sepanjang 1 minit 19 saat yang dikongsi melalui Facebook, kelihatan seorang lelaki berpakaian PPE menyembur cecair nyah kuman ke kedai-kedai sambil duduk di atas sebuah lori yang bergerak.

Pakar virologi terkenal Emeritus Profesor Datuk Lam Sai Kit berkata permukaan jalan raya tidak mungkin dicemari virus mahu pun menjadi punca jangkitan.

Beliau berkata nyah kuman perlu lebih khusus dan bersasar di mana jangkitan lebih berlaku, seperti kawasan di mana tangan berkemungkinan terkena virus.

“Menyembur permukaan jalan adalah tindakan membazir. Petugas sepatutnya dilatih supaya melakukan nyah kuman di mana titisan mengandungi virus boleh terjatuh dan seterusnya menjadi punca jangkitan. Bukan di permukaan jalan.

“Melihat kepada gambar petugas berkenaan bekerja, nampak seolah-olah mereka membasuh jalan. Harap tiada berlaku kesan ‘aerosol’ berikutan pancutan air yang digunakan ke atas orang ramai yang menyaksikannya,” komen beliau dalam respons yang dihantar ke NST.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar turut menyifatkan bahawa operasi sedemikian hanya pembaziran.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here