Melaka mula operasi nyah cemar berskala besar

0
454

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA — Kerajaan negeri telah menjalankan operasi nyah cemar sejak 18 Mac lalu melibatkan 120 lokasi di seluruh negeri ini dengan memberi tumpuan utama di kawasan tumpuan orang ramai bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan berkata, operasi itu dilanjutkan dengan skala lebih besar bermula hari ini sehingga 14 April ini.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan negeri adalah salah satu pendekatan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Sebenarnya operasi nyah cemar lah awal dilaksanakan awal di Melaka tetapi kali ini kita mengerahkan operasi berskala besar melibatkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bermula hari ini secara berperingkat-peringkat.

“Semua tempat awam termasuk rumah ibadat tidak terkecuali dalam operasi nyah cemar yang dilaksanakan secara besar-besaran dan diharap operasi ini dapat mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di sini dan siarkan secara langsung melalui Facebook.

Abdul Ghafar berkata, MBMB telah mengenal pasti 460 lokasi di sekitar bandaraya Melaka terutama di pusat tumpuan pelancong. Sebanyak lapan lokasi telah dijalankan operasi nyah cemar manakala baki kawasan lain berterusan dilaksanakan.

Beliau menambah MPHTJ pula mengenal pasti sebanyak 156 lokasi dan lapan telah menjalankan operasi tersebut manakala MPAG pula menyasarkan 280 lokasi di mana sebanyak 28 lokasi telah menjalani operasi nyah cemar.

Jelasnya, MPJ pula menyasarkan sebanyak 321 lokasi di mana 39 lokasi telah dilaksanakan operasi tersebut sebelum ini.

Abdul Ghafar yakin operasi nyah cemar dijangka selesai sebelum 14 April ini dan meminta semua pihak memberi kerjasama sepanjang operasi dilaksanakan itu nanti.

Di samping itu beliau turut mengingatkan agar orang ramai mematuhi Perintan Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa II.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here