Agong, Permaisuri berkenan potong Emolumen Diraja enam bulan

    0
    233
    fotoBERNAMA

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkenan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19, serta menyahut keputusan kerajaan memotong dua bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung COVID-19.

    “Perkenan Seri Paduka Baginda Berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda Berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Fadil berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sementara itu, sempena Hari Doktor semalam, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan penghargaan kepada para doktor dan petugas kesihatan, khususnya barisan hadapan atas khidmat, bakti dan pengorbanan tanpa penat lelah dan mengira masa menjalankan tanggungjawab membendung pandemik itu.

    “Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan berkaitan di atas pengiktirafan yang telah diberikan oleh firma perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia baru-baru ini berkenaan tata cara pengendalian COVID-19 di Malaysia,” katanya.

    Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama Seri Paduka berdua, berdoa memohon ihsan Allah SWT semoga Malaysia sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan berkesan dan segera.

    — BERNAMA
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here