Covid-19: Malaysia catat 6 lagi kematian, 140 kes baru

0
454

JUMLAH kematian akibat Covid-19 meningkat enam kes, daripada 37 yang dilaporkan semalam kepada 43 hari ini.

Peningkatan kes harian pula sebanyak 140, menjadikan jumlah keseluruhan 2,766 kes.

Seramai 94 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 60 memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam sidang medianya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa enam kematian baru melibatkan lima warganegara Malaysia dan seorang warganegara Indonesia.

Hampir kesemua yang menjadi korban Covid-19 berkenaan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Dr Noor Hisham juga mendedahkan bahawa statistik menunjukkan terdapat dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif Covid-19 berbanding kumpulan umur yang lain.

Dua kumpulan tersebut adalah dalam lingkungan 26 sehingga 30 tahun dan juga 56 sehingga 60 tahun.

Berikut merupakan enam kes kematian terbaru:

  • Kes kematian ke-38 (kes ke-2269) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau merupakan kontak kepada kes ke-2750. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 4.04 petang.
  • Kes kematian ke-39 (kes ke-2626) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Arab Saudi. Beliau telah meninggal dunia pada 27 Mac 2020 di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
  • Kes kematian ke-40 (kes ke-2627) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 1:03 petang.
  • Kes kematian ke-41 (kes ke-1275) merupakan lelaki warganegara Indonesia berumur 40 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 1.38 pagi.
  • Kes kematian ke-42 (kes ke-2628) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 7.09 pagi.
  • Kes kematian ke-43 (kes ke-2629) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 4.30 petang.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here