Jangan salahkan polis PKP semakin ketat

0
667
ORANG ramai masih memenuhi kawasan Taipan, Subang Jaya seolah-olah tiada Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Gambar ini dirakam pada semalam - BEBASNEWS

Oleh NURULANUAR MANSOR

HARI ini, laporan-laporan media menyebut, pihak polis Terengganu akan melaksanakan penggiliran kenderaan bagi menghadkan pergerakan di atas jalan raya di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, Roslee Chik, ketika mengumumkan perkara itu berkata, peraturan tersebut dibuat sempena perintah kawalan pergerakan (PKP) Fasa II yang bermula 1 April sehingga tempoh PKP tamat.

Tambah beliau, kenderaan juga hanya dibenarkan keluar bagi sekali pergerakan sahaja dalam masa sehari.

Selain itu, pihaknya juga akan mengenal pasti mereka yang keluar untuk sebarang urusan itu hanya keluar sehari sekali dan mereka akan disemak setiap urusan termasuk resit pembelian barangan keperluan.

Langkah itu terpaksa diambil kerana ada pihak yang didapati sengaja meletakkan barangan keperluan dalam kenderaan sebagai alasan untuk keluar daripada rumah, padahal pembelian barangan tersebut dibuat pada hari sebelumnya atau sudah lama dibeli.

Itu di Terengganu.

Di Lembah Klang, ada disiarkan berita mengenai seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang ditahan kerana memaki pihak polis yang sedang mengadakan sekatan jalan di Persiaran Surian, Damansara.

Wanita berkenaan dilaporkab bertindak demikian kerana merasa rengsa dengan kesesakan lalu lintas yang berlaku akibat sekatan berkenaan.

Amat mudah bagi kita untuk menyalahkan pihak polis atas sedikit kesulitan yang dialami ni masa penularan wabak Covid 19 ketika ini.

Semua yang pihak berkuasa lakukan dilihat seolah-olah satu tekanan terhadap kita.

Namun pernahkah kita menyalahkan diri sendiri?

Ramai dalam kalangan masyarakat mahukan penularan Covid 19 ini dihentikan dengan segera.

Walaubagaimanapun, ramai juga dalam kalangan masyarakat yang menunjukkan sikap keras kepala menentang usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan terutamanya polis.

Mereka ini seolah-olah buta dan menjadi pendek akal terhadap hakikat bahawa virus ini menular dengan amat mudah.

Ramai juga yang merasakan dirinya seolah-olah kebal daripada virus ini lantas membebalkan diri sendiri dan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lepas.

Lihat saja di beberapa tempat baik di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Masih ramai anggota masyarakat yang bergerak ke sana ke mari seperti biasa seolah-olah penularan virus ini tidak pernah berlaku.

Persoalannya di sini, jika anda tidak mahu menjaga keselamatan diri dan keluarga serta orang lain, salahkah pihak berkuasa bertindak tegas ataupun memperketatkan tindakan bagi memastikan virus Covid19 ini dapat dibendung?

Jika masih mahu terus bersikap pandai tidak boleh diikut, bodoh tidak boleh diajar dan berdegil mengatakan bahawa usaha-usaha yang dilakukan tidak berkesan ataupun bukan kaedah yang baik, cuba lihat graf ataupun angka jangkitan baharu; kematian dan kes yang berjaya disembuhkan.

Setakat 14 hari PKP ini dilaksanakan, jumlah kes jangkitan baharu adalah mendatar manakala kes yang berjaya disembuhkan menunjukkan peningkatan yang positif.

Makanya, jangan salahkan pihak berkuasa yang bertindak tegas demi menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia.

Jika mahu menunding jari meletakkan kesalahan, tundinglah jari kepada diri sendiri yang (sekali lagi diulang) bersikap bodoh tidak boleh diajar, pandai tidak boleh diikut.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here