Tunjukan teladan yang baik, hentikan politik kurang siuman

1
712
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) meninjau proses sanitasi Nyahcemar Kuman di Sungai Ramal Dalam pada Pandemik Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Oleh AHMAD ABD HAMID

JIKA tidak tertulis perkataan ‘menteri’ pada bahagian depan kepala, pasti orang ramai tidak tahu salah seorang dalam kumpulan berpakaian perlindungan lengkap yang melakukan semburan sanitasi di beberapa tempat awam di Selangor 30 Mac ialah seorang anggota kabinet.

Namun, tiada siapa segera ketahui siapa menteri berkenaan.

Hanya setelah media membuat laporan barulah diketahui ramai rupanya beliau ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau menyertai program sanitasi awam dengan membuat semburan antaranya di sebuah masjid di Kajang dan pasar awam Jalan Othman, Petaling Jaya.

Itu cerita di Selangor. Rupanya di Seremban, Negeri Sembilan pun ada cerita pada 31 Mac.
Seorang timbalan menteri juga menyertai program sanitasi awam di stesen KTM Seremban. Ini diketahui melalui perkataan ‘timbalan menteri’ pada bahagian penutup kepala yang dipakainya.

Sementara petugas-petugas lain berpakaian perlindungan lengkap, timbalan menteri ini cukup bergaya dengan berseluar dan berbaju kemeja. Soalnya, adakah ini memenuhi dan mematuhi piawaian sanitasi?

Rupanya timbalan menteri tersebut ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Nampaknya timbalan menteri pun tidak mahu kalah dengan bosnya. Apabila bos turun padang, dia pun turun padang juga. Ini betul-betul bos borek, timbalan rintik.

Proses sanitasi awam di pelbagai lokasi adalah usaha mengekang penularan wabak Koronavirus atau COVID-19 serta membasmi penyebarannya.

Oleh kerana itu pelaksanaannya dijalankan oleh mereka yang sememangnya terlatih dan arif dengan tugas yang diamanahkan.

Pihak lain yang tidak ada kena mengena dengan tugas ini, walau menteri sekali pun, janganlah cuba menyelit dan menonjolkan diri sehingga boleh menyusahkan mereka yang bertugas.

Manakan tidak, jika ada menteri pastilah perlu juga ada protokol, ada layanan sehingga menganggu fokus pasukan petugas melaksanakan tanggung jawab.

Keadaan bertambah buruk jika seseorang itu menyertainya tanpa mematuhi piawaian berpakaian ditetapkan. Ini amat tidak wajar, seolah-olah satu perbuatan tidak siuman.
Perbuatan ini boleh mendedahkan invidu berkenaan kepada risiko seperti jangkitan. Tetapi kerana beliau seorang anggota kabinet, mungkin tiada siapa berani menegur.

Dalam usaha keras kerajaan mengekang COVID-19, biarkan mereka yang pakar menjalankan tugas tanpa gangguan.

Para pemimpin, termasuk menteri, lebih baik jangan mengambil kesempatan untuk mencari nama. Jika tiada tugas spesifik, elok sahaja berehat di rumah dan patuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Di samping itu, sebagai satu lagi ingatan ikhlas, para pemimpin yang ingin membantu rakyat dalam kemelut COVID-19 ini, lakukanlah dengan tulus hati tanpa ada niat di sebaliknya.

Ini kerana sudah ada tular gambar menteri tertera pada bungkusan makanan yang dikatakan untuk orang ramai. Mungkin tular ini tidak benar dan gambar hanya ‘fake picture’.

Namun sekurang-kurangnya ia bagus untuk menjadi peringatan agar jangan menyelitkan unsur kepentingan politik peribadi di tengah-tengah negara sedang bergelut mendepani wabak COVID-19.

Gambar pemimpin pada barang-barang bantuan untuk rakyat biasa dilihat ketika musim pilihan raya. Namun sekarang bukan musimnya. Jadi kalau ada niat mempromosi diri, sabarlah dahulu.

Ketika ini, di saat kes baharu COVID-19 terus meningkat dan kes kematian juga bertambah, seluruh tumpuan adalah untuk mengekang dan membasmi virus maut itu.
Oleh itu sepadukan usaha, gembeling tenaga dan kukuhkan komitmen untuk menghadapinya. Ketepikan dahulu perbezaan politik.

Hindarilah cubaan mencipta nama peribadi di kala negara dan rakyat menghadapi ujian genting ini. Jangan menangguk di air keruh.

–BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Maaf, saya sedikit berbeza pendapat dalam hal kemunculan Menteri atau Timbalan Menteri semasa proses sanitasi. Mungkin pakaian yang dipakai oleh Timbalan Menteri berkenaan tidak sesuai tapi apalah salahnya kalau ada Menteri yang ingin melihat proses sanitasi dijalankan oleh pihak yang dipertanggungjawab. Nanti kalau Menteri buat kenyataan akhbar tentang sesuatu perkara dan apa yang disebut oleh Menteri berkenaan tidak tepat, netizen akan cepat ‘melatah’. Kalau Menteri duduk kat rumah atau kat ofis shj, nanti dikatakan tak buat kerja dsb. Kita perlu bersangka baik sesama manusia. Terima kasih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here