Oleh FETTY RARA

DI HULU Langat polis menangkap seorang lelaki yang kelihatan berkeliaran di bawah sebuah kondominium pada kira-kira pukul 2.00 pagi tadi.

Apabila diminta oleh anggota peronda supaya pulang ke rumahnya beliau enggan dan seterusnya terpaksa ditangkap dan dibawa ke pejabat CID ibu pejabat polis Kajang untuk tindakan selanjutnya.

Semasa siasatan suspek memberitahu bahawa beliau adalah antara peserta ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling.

Susulan itu suspek diasingkan dan polis membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan, kata Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner  Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff hari ini semasa lawatan ke kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui.

Pegawai-pegawai dari kementerian Kesihatan kemudian tiba untuk melakukan proses nyah kuman di semua pejabat CID sebagai langkah berjaga-jaga sementara polis menyoal anggota keluarga suspek dan kawan-kawannya.

Anggota keluarga suspek memberitahu bahawa suspek sebenarnya bukan peserta ijtimak tabligh seperti yang didakwa.

Polis menyoal siasat suspek sekali lagi dan beliau akhirnya mengaku bahawa beliau berbohong agar tidak direman.

Suspek disiasat kerana menghalang tugas penjawat awam di bawah Seksyen 7(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, selain bersabit memberikan keterangan palsu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here