Ibadah haji: Batal atau sebaliknya, Arab Saudi sendiri belum pasti

0
469
FOTO: Wikimedia Commons/Adli Wahid / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0)

Oleh AMREE AHMAD

WASPADA… Kali terakhir ibadah fardu haji terpaksa dibatalkan ialah pada 1987 ekoran wabak meningitis menyebabkan hampir 10,000 jemaah pelbagai negara dijangkiti maut di Tanah Suci.

Ironi, ada dakwa ia tidak benar kerana masih terdapat ribuan lagi jemaah berjaya sempurnakan Rukun Islam yang kelima itu dengan kawalan amat ketat dari pihak berkuasa Arab Saudi sendiri.

Ada juga dakwa ibadah ini pernah tiada ketika Perang Teluk II pada 1991 mengakibatkan laluan penerbangan komersial di rantau Asia Barat ditutup demi elak ditembak peluru berpandu tentera.

Namun, kesahihan dakwaan itu turut diragui kerana tiada rekod rasmi kerajaan Arab Saudi yang mengesahkan pembatalan urusan haji pada tahun tersebut dan ia kekal misteri sehingga kini.

Hakikatnya, berdasarkan laporan Yayasan Penyelidikan dan Arkib Raja Abdul Aziz, ibadah ini pernah tiada 40 kali dalam sejarah selepas kewafatan Rasulullah SAW pada tahun 632 Masihi.

Ia dicatatkan antara tahun 865 sehingga 1987 apabila Masjidil Haram di Makkah ditutup kepada jemaah haji atas pelbagai faktor termasuk peperangan, kebakaran, penyakit dan banjir besar.

Bahkan sekitar abad ke-19, umat Islam dari seluruh dunia dilarang tunaikan ibadah itu selama empat tahun bermula 1837 selain pada 1846, 1850, 1865 dan 1883 ekoran penularan kes taun.

Terdahulu, dianggarkan lebih 8,000 orang bakal jemaah maut di wilayah Hijaz pada 1814 dan kemudian pada 1831 kira-kira satu perempat peserta haji terkorban juga disebabkan wabak ini.

Justeru, pengumuman terkini Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Muhammad Salih Taher Banten semalam ternyata beri gambaran awal susulan situasi serius Covid-19 di seluruh dunia.

Beliau dalam wawancara stesen TV Al-Ekhbariya dipetik akhbar Arab News dilapor mahu umat Islam tunggu dahulu sebelum rancang untuk menunaikan ibadah haji pada akhir Julai depan.

“Kami minta agar tidak tergesa-gesa, khususnya bakal jemaah sehingga kesan wabak itu jadi jelas, dengan lebih utamakan keselamatan dan kesihatan awam,” kata Dr. Muhammad Salih.

Sekitar 2.5 juta jemaah seluruh dunia bakal berhimpun di tanah suci Makkah selama seminggu bagi mengerjakan ibadah tahunan itu, yang merupakan sumber pendapatan utama Arab Saudi.

“Kami kerjasama dengan Kementerian Kesihatan buat pemeriksaan hotel digunakan sebagai fasiliti pengasingan untuk memastkan khidmat jagaan disediakan kepada jemaah,” tambahnya.

Penularan Covid-19 menjelang wukuf iaitu perhimpunan terbesar umat Islam dijadual lewat Julai ini menimbulkan tanda tanya sama ada boleh diterus dengan ambil kira risiko penyakit tersebut.

Arab Saudi telah pun gantung sementara ibadah umrah, sekat semua penerbangan luar dan minggu lalu, perintah berkurung di beberapa buah bandar besar termasuk Makkah dan Madinah.

Negara Asia Barat itu baru melaporkan 10 kematian dalam kalangan 1,563 kes positif Covid-19, manakala lebih 860,000 pesakit direkodkan di seluruh dunia dengan ragut lebih 42,000 orang.

Pembatalan haji belum pernah berlaku sejak 33 tahun lalu tetapi pengehadan kehadiran di zon berisiko tinggi sudah dibuat sebelumnya termasuk ketika wabak Ebola meletus teruk pada 2013.

Dengan situasi Covid-19 terus meruncing dan Arab Saudi pula masih samar, tidak banyak boleh dibuat melainkan berdoa agar wabak ini berakhir sebelum musim haji 1441 Hijrah bermula kelak.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here