Laman sesawang LHDN sesak teruk di hari April Fool

0
14762

Oleh ARRAZAQ NAZRI

KUALA LUMPUR — Laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sesak teruk hari ini bukan satu April Fool.

Sejak seawal 9 pagi, ramai yang mula cuba melayari talian yang diberikan, ramai yang kecewa kerana gagal berbuat demikian.

Jika tidak kerana pandemik Covid-19, pastinya kaunter LHDN akan sesak didatangi rakyat yang mahukan bantuan Makcik Kiah seperti mana yang dianalogikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Md.Yasin semasa membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin minggu lalu.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang bertemakan “Tiada Siapa Yang Tercicir” merupakan pakej bantuan yang melibatkan golongan B40,M40,majikan dan pelbagai sektor di negara ini.

Sesetengah manfaat yang diumumkan telahpun dinikmati rakyat Malaysia mulai hari ini seperti pemberian data percuma internet sebanyak 1GB setiap hari sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pukul 12 malam tadi.

Kesesakan yang berlaku di laman sesawang http://www.hasil.gov.my dan http://bsh.hasil.gov.my berpunca daripada majoriti rakyat Malaysia yang mempunyai banyak masa terluang untuk berbuat demikian kerana sedang ‘berkurung’ di rumah.
Menurut sumber LHDN, bilangan yang masuk untuk mendaftar dan juga membuat pertanyaan dipercayai punca berlaku kesesakan.

Menurut LHDN, orang ramai diminta supaya bersabar untuk berurusan dengan pihaknya melalui laman sesawang kerana aliran trafik begitu sesak.

“Peluang dibuka mulai hari ini hingga 30 April untuk pemohon mendaftar untuk mana-mana kategori yang mereka layak.

“Ini termasuklah mereka yang ingin mendaftar untuk kali pertama, ada yang ingin mendaftar semula dan ada yang ingin membuat semakan status layak atau tidak menerima bantuan,” kata LHDN.

Berdasarkan pengamatan yang dibuat di laman-laman sosial, ramai netizen yang memilih untuk menunggu hari lain untuk melayari laman sesawang berkenaan.

Sebenarnya orang ramai khusus rakyat Malaysia tidak perlu bimbang, manfaat yang dijanji untuk Makcik Kiah tidak kemana kerana ia bukan April Fool, pada 1 April.

–BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here