RTM harungi usia 74 tahun dengan penuh getir

0
158
FOTO: Wikimedia Commons/User:Two hundred percent. / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0)

Oleh AMREE AHMAD

SECARA jujur, jika bukan kerana ketegasan Gobind Singh Deo, Jabatan Penyiaran Malaysia atau lebih dikenali sebagai Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) mungkin sudah lama pupus.

Ketika berucap pada sambutan Hari RTM ke-73 pada 1 April 2019 lalu, beliau dengan lantang berikrar tidak akan layan tuntutan pihak tertentu mahu stesen penyiaran awam itu dimansuhkan.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia paling singkat dalam sejarah kementerian itu malah beri jaminan RTM akan dipertahan dan dijadikan pilihan utama rakyat di bawah pentadbiran PH.

Itu cerita setahun lepas dan kali ini, sambutan Hari RTM ke-74 pada tarikh sama yang sering disindir sebagai ‘April Fool’ itu ternyata lebih getir ekoran penularan serius kes wabak Covid-19.

Bayangkanlah buat julung kali, menteri baharunya, Datuk Saifuddin Abdullah hanya sampaikan perutusan secara rakaman dari pejabatnya dan bukan dalam perhimpunan meriah di auditorium.

Tiada acara bacaan doa selamat, nyanyi lagu ‘Happy Birthday’ dan potong kek disaksikan ribuan staf sebagai mana kelaziman setiap tahun sejak 1946, bahkan sambutan kali ini serba ringkas.

Ia dapat dilihat jutaan penonton setia program bual bicara Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini apabila tetamu di studio juga terpaksa duduk jauh jarak semeter dan ada memakai topeng muka.

Berbeza tahun lalu, sambutan tahun ini ada tema ‘Penghubung Generasi’ susulan kejayaan RTM lengkap Projek Pendigitalan Nasional dan menamatkan era penyiaran analog di seluruh negara.

Proses peralihan transmisi teresterial itu menyaksikan lebih lima juta isirumah kelompok B40 yang tidak mampu langgan penyiaran berbayar, kini ceria menikmati puluhan saluran percuma.

Ini termasuk lima saluran televisyen dan enam saluran radio milik RTM secara eksklusif dengan kualiti siaran definisi tinggi tidak terjejas waima cuaca buruk selain tahap audio visual terbaik.

Ironi, segala cerita hebat itu ‘ditenggelami’ isu wabak Covid-19 dan seperti mana ulang tahun Hari Polis ke-213 pada 23 Mac lalu, sambutan Hari RTM ke-74 juga diraikan pada skala kecil.

Bak kata Ketua Pengarah Penyiaran, Nor Yahati Awang sendiri, jabatan itu kini bergelut dengan banyak cabaran berat dan bukan lagi sekadar agensi ‘suara’ propaganda dari pihak pemerintah.

Justeru, beliau dedahkan RTM mula aktif dalam bidang media baharu dengan mewujudkan lebih 80 akaun rasmi pelbagai platform media sosial tanpa lagi bergantung sistem sebaran tradisional.

Situasi ini sejajar perubahan paradigma rakyat jelata dalam mendapatkan maklumat di sebalik Nor Yahati turut berbangga RTM mula diiktiraf sebagai jenama media paling dipercayai audiens.

Pengiktirafan diberi oleh agensi berita ternama antarabangsa, Reuters itu melonjakkan imej RTM dan dijadikan pembakar semangat untuk ribuan petugas sebagai barisan hadapan kerajaan PN.

Apatah lagi rakyat sudah mengharapkan peranan besar dimain RTM untuk sebar maklumat tepat ketika negara bergelut ‘perang’ lawan Covid-19 dan bukannya daripada badan media yang lain.

Pendek kata, tiada guna hanya gah teknologi canggih, namun jika kredibiliti diragui, tugas RTM dianggap sia-sia dalam bentuk minda positif rakyat untuk yakini pihak kerajaan PN selama ini.

Biarlah dikutuk puak antikerajaan yang sinis label RTM konon tidak popular, tetapi realitinya audiens sudah mula rujuk stesen ini sebagai sumber sahih dan profesional pada bila-bila masa.

Terima kasih RTM dan Selamat Hari Jadi ke-74!

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here