Penduduk Melaka lahir rasa syukur catuan air berakhir hari ini

0
500
SYUKRI jalil

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA — Penduduk di negeri ini melahirkan rasa syukur apabila kemelut catuan air yang bermula sejak 29 Januari lalu berakhir hari ini.

Derita penduduk selama hampir dua bulan lebih cukup menyeksakan ekoran ketiadaan bekalan air hingga menjejaskan rutin harian mereka.

Sektor industri, perhotelan dan peniaga restoran juga adalah antara mereka yang terkesan dengan catuan air yang berlaku di negeri ini.

Seorang pengusaha Flashpoint Paintball Melaka Park, Bukit Katil, Faris Osman berkata, sejak catuan air bermula ia menjejaskan perniagaan paintball terutama mereka yang datang dari luar Melaka.

FARIS Osman.

“Alhamdulillah masalah bekalan air di Melaka sudah berakhir. Jika tidak bukan sahaja perniagaan saya terjejas tetapi turut menjejaskan kehidupan harian,” katanya ketila dihubungi hari ini.

Beliau mengulas apabila catuan air melalui Program Bekalan Air Berjadual sejak 29 Januari berakhir hari ini (1 April) ekoran musim kemarau yang melanda Melaka hingga menjejaskan kawasan tadahan air dan dua empangan yang susut teruk.

Dalam satu kenyataan daripada Syarikat Bekalan Air Melaka Berhad (SAMB) hari ini, bekalan air mula diterima oleh penduduk yang terjejas sejak pukul 10.00 pagi ini.

ABDUL Aziz jaafar.

Seorang pesara tentera Abdul Aziz Jaafar, 57, berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada SAMB yang menamatkan catuan air yang berlarutan begitu lama.

“Bila air dicatu timbul macam-macam masalah. Bayangkan satu hari ada air, satu hari lagi tak ada. Anak-anak hendak ke sekolah kadang-kadang tidak dapat mandi,” ujarnya yang menetap di Taman Seri Tanjung, Sungai Udang dekat sini.

Seorang kontraktor Syukri Jalil, 40, melahirkan rasa lega masalah bekalan air di negeri ini berakhir hari ini.

Katanya, dua bulan lebih sejak catuan air pada 29 Januari, rutin hariannya terjejas.

“Bayangkan hendak cuci pakaian pun susah. Kedai dobi pula sehari buka sehari tutup. Catuan air yang berlaku ini cukup menyeksakan,” ujarnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here