KKM lancar program pengurangan risiko penularan COVID-19 di daerah

0
317
TIMBALAN Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memberi penerangan berkenaan Program Pengurangan Risiko Penularan COVID-19 di Daerah pada majlis pelancaran program itu di Kementerian Kesihatan hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Chong Chee Kheong (kanan). --fotoBERNAMA (

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan Program Pengurangan Risiko Penularan COVID-19 Di Daerah, bagi mengekang penularan wabak tersebut di peringkat komuniti.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, teras bagi program itu adalah untuk memperkasakan komuniti dan berkongsi tanggungjawab, dalam menjalankan langkah-langkah pencegahan dan kawalan COVID-19 bagi memastikan daerah yang bebas jangkitan COVID-19, kekal bebas dan tiada kes dilaporkan.

“Bagi tujuan tersebut, daerah dibahagikan kepada empat kategori iaitu Hijau – tiada kes dalam tempoh 14 hari, Kuning – terdapat satu hingga 20 kes, Oren – 21 hingga 40 kes dan Merah bagi kawasan yang mencatatkan lebih 41 kes.

“Objektif program ini adalah untuk mengekalkan status daerah Hijau kekal bebas dari kes jangkitan COVID-19, dan menukarkan status daerah Kuning kepada Hijau dalam tempoh 14 hari,” katanya semasa melancarkan program tersebut di sini hari ini.

Dr Noor Azmi berkata dalam program ini, setiap ahli keluarga hendaklah sentiasa memantau status kesihatan diri dan keluarga, mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan duduk di rumah, dan menjaga kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul.

“Mereka juga digalakkan untuk mengamalkan jarakan sosial, mengamalkan pembelian dan bayaran dalam talian, disinfeksi di rumah dan mengehadkan pelawat yang datang ke rumah.

“Manakala komuniti pula, perlu sentiasa memainkan peranan aktif bagi memastikan daerah kekal hijau, antaranya mengerakkan jawatankuasa penduduk sedia ada, sebagai penyelaras aktiviti dalam komuniti,  melaporkan kepada ketua komuniti atau polis sekiranya terdapat aktiviti berkumpulan, dan melaporkan sebarang kes disyaki COVID-19 kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata Majlis Tindakan Daerah adalah agensi utama yang akan menerajui program ini, serta menegaskan kejayaan inisiatif ini sangat bergantung kepada kerjasama semua pihak, dalam mengembeling tenaga untuk mengekalkan daerah terus bebas COVID-19.

“Bagi memantau pencapaian program ini, KKM akan membuat pemantauan bilangan kes mengikut daerah dalam tempoh 14 hari dari tarikh semasa, dan akan berkongsi maklumat ini setiap hari di laman sosial MyHealth,” katanya.

— BERNAMA
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here