Jom berjimat, imarahkan rumah sendiri sepanjang Ramadan?

0
297

Oleh AHMAD ABD HAMID

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua dijadual berakhir pada 14 April. Namun, itu bukan muktamad.

Harapan kini menjurus agar pandemik Covid-19 segera berakhir kerana Ramadan bakal tiba pada 23 April ini. Pastinya ramai yang ingin kembali bersolat termasuk bertarawih di masjid-masjid atau surau seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

Tidak kurang juga mereka yang merindukan suasana kemeriahan bazar di Ramadan termasuk bukan Islam turut bersesak-sesak mencari-cari kuih atau lauk pauk kegemaran mereka seolah-olah mahu turut berbuka puasa.

Namun begitu terdapat kemungkinan besar, solat terawih bakal diadakan di rumah dan bukan seperti mana kebiasaan sebelumnya.

Seandainya Covid-19 reda atau berakhir, kerajaan terpaksa memastikan sejauh mana kembalinya umat Islam bersolat di masjid dan mengunjungi bazaar malam boleh mengakibatkan satu lagi gelombang maut.

Apatah lagi terdapat kes di luar negara, mangsa Covid-19 dijangkiti dua kali meskipun disahkan sembuh.

Sememangnya diakui tarawih di rumah berbeza suasananya dengan di rumah Allah tetapi pahala tetap diganjari. Terimalah dengan reda, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Ketahuilah bahawa solat tarawih di rumah juga amalan para sahabat di zaman Rasulullah.

Pandanglah daripada sisi positif, mungkin tiba masanya untuk kita mengimarahkan pula rumah sendiri dengan bersolat termasuk bertarawih berjemaah bersama-sama ahli-ahli keluarga, sekali gus merapatkan lagi hubungan yang ada.

Tidak lenyap keberkatan Ramadan tanpa berjemaah ke masjid, ketiadaan lagi bazar di bulan puasa juga setidak-tidaknya mengajar kita lebih berjimat cermat dalam mendepani keadaan ekonomi negara dan dunia yang sukar ini.

Sehingga ini, kerajaan Terengganu, Selangor dan Kedah sudah pun mengumumkan lebih awal tiada bazar Ramadan pada tahun ini, bahkah Kedah juga membatalkan jualan sempena persiapan menyambut Aidilfitri.

Kerajaan Pulau Pinang pula membekukan permohonan bagi gerai bazar Ramadan sehingga keadaan pasti, sama ada PKP diteruskan atau tidak.

Pada masa sama, Akademi Perubatan Malaysia (APM) juga bersetuju supaya ditiadakan bazar Ramadan kerana bimbang gelombang ketiga Covid-19 boleh berlaku.

Tidak dinafikan dalam keghairahan membeli-belah, orang ramai tidak lagi memperdulikan lagi penjarakkan sosial, sekali gus bakal menyebabkan usaha kerajaan untuk menhapuskan pandemik Covid-19 terus gagal.

Rakyat perlu sedia berubah menyesuaikan diri dengan perubahan suasana yang berlaku. Apa yang sedang negara hadapi ini adalah serius. Untuk mendepaninya, ia menuntut komitmen serta kerjasama padu rakyat bagi mengelakkan keadaan menjadi jauh lebih buruk.

Tiada guna segala-galanya jika kita sudah terlentang di katil hospital menunggu tarikh mati.

–BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here