Gorgos: Kesilapan yang dirancang – Zamri Zakaria

0
356
PELAKON utama: Azlee Khairi dan Azar Azmi.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SUDAH menjadi lumrah masyarakat kita, apa juga yang dilakukan para artis walaupun dalam drama ia akan menjadi viral dan diperdebatkan oleh netizen di media sosial.

Drama 18 episod, Maaf Tak Indah terbitan Zamriez Golden Pictures yang mengisi slot Samarinda TV3 bermula 12 Februari, kini menjadi viral semula di media sosial walaupun ia telah melabuhkan tirai pada 20 Mac lalu.

Semuanya gara-gara pada 13 Mac pukul 2.06 petang, pemilik akaun Facebook, Hayward Gregory John dari Kuching, Sarawak memuatnaik babak Raimie memuji penampilan bekas isterinya, Syazan yang datang ke rumah keluarga Raimie untuk melihat anak mereka, Adam.

Pada episod 12 di minit 28.32 saat memaparkan babak Raimie (lakonan Azlee Khairi) memuji penampilan bekas isterinya, Syazan (Azar Azmi) dan tiba-tiba keluar perkataan ‘gorgos’ yang menjurus kepada ‘gorgeous.’

Disebabkan itu, pemilik akaun FB berkenaan menegur itulah akibatnya jika rakyat Malaysia tidak mengambil berat tentang pembelajaran Bahasa Inggeris.

Setakat pukul 9.30 malam tadi, status berkenaan ditonton sebanyak 68,600 kali, 3,628 dikongsi, 1,200 respon dan 487 komen.

Pengarahnya, Zamri Zakaria ketika dihubungi dan ditanya mengenai perkataan dalam dialog berkenaan menjelaskan;

ZAMRI Zakaria.

“Sebenarnya pemilik akaun FB itu hanya memuatnaik babak yang tidak habis. Jika anda yang pernah menonton drama itu, tentu tahu apa dialog seterusnya.

“Ini kerana babak di tangga itu bermula dari minit ke 28.10 saat dan berakhir pada minit ke 28.37 saat apabila Syazan membetulkan sebutan ‘gorgeous’ dan bukan ‘gorgos’ yang dibalas oleh Raimie ‘tahu.”

Menurut Zamri, mengikut skrip asal perkataan yang diucapkan oleh Raimie sememangnya gorgeous.

Bagaimanapun, setengah jam sebelum penggambaran babak berkenaan dimulakan Penolong Pengarah, Sam memberi idea agar Raimie mengucapkan gorgos dan bukan gorgeous!

“Setelah berbincang, saya setuju dengan idea Sam dan yakin babak dan dialog berkenaan akan melekat di hati penonton.

“Apabila penggambaran dimulakan saya tak sangka perkataan yang diucapkan oleh Raimie membuatkan semua kru penerbitan dan kru teknikal serta pelakon yang ada ketawa berpanjangan. Penggambaran untuk babak itu hanya sekali ‘take.’

“Mereka menyangkakan Raimie terlupa dialog tetapi sebenarnya kesilapan itu memang dirancang!” cerita Zamri.

Zamri yang ‘bercuti’ daripada mengarah drama “Tunggu Dulu Cinta” sebanyak 20 episod yang telah memulakan penggambaran pada 1 Mac dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

Drama yang dijangka ditayangkan di RTM pada Julai ini baru menjalani penggambaran sebanyak 300 babak dan masih berbaki lebih 700 babak lagi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here