Azura Aziz mahu aktif semula 

0
270
AZURA Aziz menjadikan single Di Setiap Mahu Mu sebagai platform untuk kembali aktif dalam bidang seni suara.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BAGI kalangan peminat muzik tanah air masa kini, nama Azura Aziz mungkin tidak tersenarai sebagai penyanyi yang mereka kenali.

Mungkin disebabkan sudah lama Azura, 47, meninggalkan bidang seni selepas berkahwin dengan Cheb Ali Masrawi dan kemudiannya menetap di Mesir selama 10 tahun.

Beliau yang popular dengan lagu Bukan Ku Tak Sayang Lagi pada era 90-an, masih bersemangat untuk meneruskan kerjaya seni yang sudah sebati dengan dirinya itu.

Azura yang sudah kembali menetap di Malaysia sejak tiga tahun lalu mengambil langkah tampil dengan single, Di Setiap Mahu Mu.

“Sebenarnya lagu Di Setiap Mahu Mu, ciptaan komposer Rosli Ahmad dan lirik oleh Andy Sulaiman itu, saya rakam sejak 2018. Kiranya itu adalah langkah awal yang saya ambil selepas lama tidak merakam lagu.

“Lagu itu sering saya dendangkan setiap kali mengadakan persembahan pentas dan alhamdulillah ramai pendengar yang mendengar lagu ini sangat positif dan menyokong serta terhibur dengan lagu ini. Killer song kata mereka,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

BAKAL suami, Chef Ali Masrawi untuk single keduanya nanti.

Bagaimanpun kata Azura, lagu berentak pop balada itu masih belum dilancar secara rasmi lagi. Beliau tetap bersabar dan bersemangat untuk melancarkan single yang merupakan platform untuknya kembali dalam bidang seni tanah air.

Jelas Azura, beliau memilih untuk merakamkan  Di Setiap Mahu Mu kerana tertarik dengan melodi lagu tersebut.

“Saya telah ditawarkan oleh cikgu Rosli untuk menyanyikan lagu ciptaan beliau, saya setuju kerana melodinya sangat menepati cita rasa saya.

“Dulu saya bermula dalam bidang seni dengan genre pop. Album kedua genre dangdut dan sekarang balik pada pop balada. Lagu Di Setiap Mahu Mu sangat istimewa buat saya yang sudah lama  teringin untuk buat comeback,” katanya tanpa berselindung.

Ujarnya, beliau kembali merakam lagu kerana ingin memenuhi permintaan peminat yang merinduinya selama ini.

Meskipun penampilan semulanya  pada era yang berbeza, Azura yakin dengan mengadakan promosi secara terancang, kerjaya seninya dapat kembali bersinar.

Untuk langkah seterusnya, beliau bercadang merakam lagu duet bersama suami tercinta.

“Single kedua saya merupakan lagu duet  bersama suami yang akan dirakam tidak lama lagi. Mungkin ada yang tak tahu, suami saya pernah menghasilkan album nasyid, Ana Muslim.

“Lagu-lagu dalam album itu dihasilkan oleh beliau sendiri. Untuk lagu duet kami nanti rasanya tak ada masalah sebab ia akan dicipta oleh suam. Lagu duet kami nanti adalah gabungan bahasa Arab dan Melayu.Jadi tunggu ya,” katanya.

AZURA bersama keluarga tercinta, sudah tiga tahun kembali ke Malaysia.

Ibu kepada Seifulislam,17, Safiyurrahman, 15,

dan  Nusratuddin, 5 tahun itu  berkata, sehingga kini masih menerima undangan persembahan pentas atau program televisyen.

“Kalau tak ada aktiviti, saya dan suami melakukan bisnes online khat kaligrafi, t.shirt printing, produksi drama dan menjual makanan sunnah,” katanya mengakhiri perbualan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here